Oktober 16, 2020 @ 2:48pm
KUALA LUMPUR: Semakin ramai pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) melakukan melakukan urusan melalui portal dan aplikasi myTNB, apabila lebih 4.6 juta akaun pelanggan berdaftar sehingga 13 Oktober 2020.
Ia mewakili peningkatan memberangsangkan sebanyak 102.9 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata kemudahan untuk melakukan urusan pembayaran melalui portal dan aplikasi myTNB amat berguna ketika ini apabila beberapa negeri di Semenanjung berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Dengan itu, pelanggan tidak perlu bersusah-payah keluar dan beratur di kaunter atau kios untuk membayar bil elektrik, lebih-lebih lagi sewaktu penularan semula wabak COVID-19 kini," katanya dalam satu kenyataan.
Aplikasi myTNB boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery, manakala portal myTNB boleh dilayari di www.mytnb.com.my.
Melalui aplikasi dan portal myTNB, pelanggan boleh menyemak bil elektrik bagi kesemua akaun milik pelanggan, malah boleh mengurus akaun milik ibu bapa di kampung.
Selain itu, pelanggan juga boleh mengenalpasti jumlah penggunaan elektrik secara bulanan, melihat sejarah penggunaan elektrik, membayar bil elektrik dengan mudah serta menyampaikan maklum balas berkenaan bil elektrik secara dalam talian.
Malah, bagi lebih 600,000 pengguna Meter Pintar di Lembah Klang dan Melaka, mereka boleh memantau penggunaan elektrik secara harian melalui portal atau aplikasi myTNB.
Ini seterusnya memberi kuasa kepada pelanggan untuk mengurus penggunaan elektrik, terutama ketika berada di rumah bagi mematuhi arahan PKPB.
Aplikasi myTNB telah melalui pelbagai penambahbaikan dan pelanggan kini boleh memilih bahasa pengantaraan iaitu Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/10/742586/pengguna-aplikasi-mytnb-semakin-meningkat