Selasa, 13 Oktober 2020 @ 11:44 AM
Port Dickson: Pindaan ke atas Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang antara lain bertujuan menaikkan jumlah denda bagi kes pencemaran air, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menerusi pindaan berkenaan, jumlah denda yang dicadangkan adalah RM10 juta daripada RM500,000 pada masa ini.
"Selain itu, pindaan itu juga akan meningkatkan hukuman penjara dan semua ini akan kita bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang," katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar; Pengarah JAS Negeri Sembilan Azuri Azizah Saedon dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek.
Katanya, akta sedia ada tidak mencukupi bagi menangani isu berkenaan, namun yang paling utama adalah sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Sebab itu kita menganggap mereka ini penjenayah alam sekitar dan kita tak boleh berkompromi dengan sikap melampau seperti ini," katanya.
Mengulas mengenai insiden pencemaran sepanjang dua kilometer di pesisir Pantai Cermin, beliau berkata, ia adalah kes kali kedua direkodkan selepas kejadian pertama pada 2009.
"Bagi kes ini, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka diaktifkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa minyak akibat pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Selain itu, sampel di lokasi sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan.
"JAS dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga melakukan rondaan laut dan pemantauan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/10/630123/pencemaran-air-denda-lebih-tinggi-bakal-dikenakan