Rabu, 9 September 2020 | 7:51am
SHAH ALAM : Gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 3 September lalu di tujuh wilayah sudah pulih sepenuhnya pagi ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri, berkata gangguan itu membabitkan tujuh wilayah iaitu Wilayah Klang/Shah Alam, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur.
"Air Selangor merakamkan penghargaan terima kasih di atas kesabaran pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
"Semua pengguna juga diingatkan supaya menggunakan air secara berhemat," katanya dalam satu kenyataan jam 7 pagi ini.
Elina berkata, Air Selangor juga menyarankan pengguna untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau App Store untuk informasi terkini bekalan air.
"Pengguna juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com untuk pertanyaan dan bantuan," katanya.
Pada 3 September lalu, tujuh wilayah membabitkan 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.
Henti tugas itu susulan insiden pencemaran air mentah disyaki berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai.