September 3, 2020 5:31 pm
RAWANG, 3 SEPT: Kilang menyelenggara mesin dan jentera di sini, yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air 1.2 juta pemegang akaun disita sehingga tarikh dimaklumkan.
EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.
“Kita arahkan kilang ini ditutup sementara menunggu keputusan siasatan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin,” katanya selepas meninjau kawasan kilang hari ini.
Loy Sian berkata kilang tersebut pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi perkara tersebut.
“Ia membuktikan tahap kesedaran serta tanggungjawab pengusaha kilang masih rendah, kita kesal sikap sesetengah pihak mengambil jalan mudah buang sisa di dalam sungai,” katanya.
Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.
Gangguan melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.
Sumber: https://selangorkini.my/2020/09/punca-sungai-selangor-tercemar-kilang-selenggara-jentera-disita/