KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menambah satu juta lagi dekoder MYTV untuk siaran televisyen percuma MyFreeview, ekoran permintaan tinggi oleh rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata perkhidmatan percuma itu mendapat permintaan tinggi penduduk terutama di kawasan luar bandar.
Justeru katanya, kementerian sedaya upaya memastikan perkhidmatan jalur lebih di semua kawasan berkualiti supaya siaran televisyen digital tidak terganggu.
"Sekarang ini permintaan MyFreeview cukup tinggi. Kerajaan telah memohon tambahan sebanyak satu juta lagi (dekoder) untuk kita beri perkhidmatan percuma kepada rakyat terutama di luar bandar untuk permintaan itu.
"Walaupun di sesetengah tempat, untuk mendapat siaran MyFreeview ini tidak ada perkhidmatan jalur lebar kerana capaiannya agak kurang atau kekuatannya tidak sampai, ia akan ada gangguan. Itu memang kita akui.
"Bagaimanapun apabila kita cadangkan untuk bagi jaluran 5G, termasuk 700 MHz iaitu spektrum yang dicadangkan... ia akan menjadi lebih baik. Buat masa sekarang untuk 5G, kementerian belum beri lagi kepada syarikat tertentu untuk jalankan spektrum 5G.
"Kita harap selepas kita mungkin ia dapat perkhidmatan yang lebih baik," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS- Pasir Puteh) yang meminta kerajaan menyatakan status perkembangan pelaksanaan bagi meningkatkan capaian jalur lebar supaya siaran televisyen digital tidak mengalami gangguan.
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/720365/1-juta-dekoder-mytv-tambahan