Julai 10, 2020 12:51 MYT
KUANTAN: Seorang pesara kerajaan mendakwa kerugian RM53,500 selepas diperdaya oleh seorang individu untuk membuat pelaburan bitcoin yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki berusia 60 tahun dari Temerloh itu mendakwa individu tersebut diperkenalkan oleh rakannya pada pertengahan 2017.

Suspek didakwa memaklumkan pelaburan itu mengambil masa setahun untuk matang dan pelabur akan menerima keuntungan secara berterusan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat yang akan dimasukkan ke dalam akaun kripto atas nama pelabur.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah memindahkan wang berjumlah RM26,500 ke akaun yang diberikan oleh suspek pada 28 Nov 2017, diikuti transaksi kedua pada 24 Jan 2018 berjumlah RM27,000.

"Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak pernah menerima hasil pelaburan itu menyebabkan dia berasa ditipu selain suspek juga gagal dihubungi sejak beberapa bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, kira-kira 123 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, juga di IPD Temerloh, seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun mendakwa kerugian RM1,150 selepas ditipu dalam urusan pembelian telefon pintar iPhone 11 yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa iklan itu yang dilihat pada 2 Julai lepas menyatakan telefon berkenaan dijual pada harga RM650 sahaja menyebabkan dia terus menghantar pesanan WhatsApp ke nombor yang disertakan dalam iklan itu.

"Mangsa mendakwa telah berurusan dengan seorang wanita yang mengarahkan dia membuat tiga transaksi pembayaran ke akaun yang diberikan suspek, namun sehingga kini mangsa tidak menerima barangan itu seperti yang dijanjikan," katanya.


Source: https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/pesara-dakwa-rugi-lebih-rm53000-diperdaya-pelaburan-bitcoin-tidak-wujud-250590