Julai 03, 2020 07:00
KUALA LUMPUR: Sebanyak 88 peratus atau 2,342 daripada 2,661 responden undian dalam talian yang dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memilih untuk mengambil moratorium atau penangguhan bayaran balik kewangan yang diperkenalkan oleh Bank Negara.
Ketua Unit Pembangunan Modul Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK Nirmala Supramaniam berkata daripada jumlah yang memilih moratorium itu, 48 peratus atau 1,124 responden mahu mewujudkan simpanan waktu kecemasan.
"Ada juga yang mengambil moratorium ini untuk menggunakan duit tersebut membeli keperluan harian 21 peratus (491), pelaburan 16 peratus (375), membuat pinjaman yang lebih rendah 11 peratus (258) dan empat peratus (94) tiada perancangan.
"Bagaimanapun undian ini tidak mengambarkan keseluruhan situasi sebenar kerana ia hanya undian secara rawak yang dilakukan dalam talian melalui Faceboook AKPK dan microsite AKPK, #askAKP dari April hingga Mei lepas," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV, malam tadi.
Dalam pada itu, Nirmala berkata kajian AKPK turut mendapati tahap tekanan kewangan meningkat sebanyak 35 peratus dalam kalangan golongan yang bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Katanya perkara itu berlaku kerana PKP dan pandemik COVID-19 adalah situasi yang berlaku di luar jangkaan dan ramai yang tidak bersedia dari segi simpanan wang untuk kecemasan.
-- BERNAMA
Source: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/88-peratus-pilih-moratorium-akpk-249591