PUTRAJAYA: Selain mengawasi harga barangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan memastikan bekalan barangan asas terkawal untuk rakyat seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum dan minyak masak sentiasa konsisten dan tidak pernah putus.Berkongsi peranan KPDNHEP bersama Bernama dalam satu temubual baru-baru ini, Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Muez Abd Aziz berkata harga barang sentiasa menjadi keutamaan pengguna namun perihal bekalan barangan sama ada mencukupi atau sebaliknya kurang medapat perhatian.“Kalau bekalan itu tidak ada macamana?" kata Muez ketika melontarkan pandangan mengenai tanggungjawab dan cabaran KPDNHEP untuk memastikan kesejahteraan pengguna dan rakyat.

Berkongsi kaedah bagi memastikan bekalan yang konsisten, dengan memberikan contoh jika stok tepung terputus, Muez berkata KPDNHEP mempunyai kuasa untuk mengimport barangan itu bagi mengatasi masalah tersebut.Berkaitan bekalan minyak petrol pula, stesen minyak yang terputus bekalan atau menutup operasi tanpa memaklumkan kepada KPDNHEP adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, di mana boleh dikenakan kompaun atau ditarik lesen operasi, katanya.Muez turut berkongsi usaha mengawal harga dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup melalui inisiatif Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang telah ditambah baik menerusi tempoh pelaksanaannya dipanjangkan pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidifitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Soalan: Apakah impak SHMMP kepada pengguna

Jawapan: Pemanjangan tempoh pelaksanaan skim telah memberi impak positif kepada pengguna di mana mereka dapat membeli barangan dengan kadar harga patut semasa menjelang perayaan, semasa perayaan dan selepas perayaan dalam tempoh yang lebih lama. Ini secara tidak langsung pengguna dapat menjimatkan wang semasa sesuatu perayaan tersebut.

S: Apakah yang dicapai dalam pelaksanaan SHMMP

J: Sepanjang pelaksanaan skim ini pada tahun 2019, sebanyak 128,085 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 3,116 pemeriksaan ke atas premis borong dan 124,969 ke atas premis runcit.

Sebanyak 46 aduan diterima dan 726 tindakan telah diambil terhadap peniaga yang ingkar dengan melibatkan rampasan bernilai RM86,349.41 serta jumlah kompaun sebanyak RM88,500 telah dikeluarkan.

S: Apakah tindakan ke atas peniaga yang sengaja menaikkan harga untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan

J: Tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tindakan penalti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Muez turut berkongsi mengenai usaha kerajaan mengawal harga barang asas seperti gula dan tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 12 kilogram.Dengan melakukan perbandingan harga di Malaysia dan Hanoi, Vietnam, menurut Muez harga satu tong LPG 12kg di Malaysia adalah RM22.80 manakala di Hanoi harganya harga boleh mencecah RM70 satu tong.Gula di Hanoi pula harganya adalah RM5 sekilogram berbanding di Malaysia RM2.85 sekilogram.Dalam pada itu, Muez berkata KPDNHEP juga berusaha menaikkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa termasuk meminda beberapa akta untuk mematuhi piawaian antarabangsa serta menguatkuasakan Akta Cap Dagangan 2019 bagi menggantikan Akta Cap Dagangan 1976 (Akta 175).

Muez berkata Akta Cap Dagangan 2019 yang diluluskan Julai lepas antara lain membolehkan Malaysia menyertai Protokol Madrid bagi memudahkan usahawan tempatan membuat pendaftaran jenama produk dengan “one single filing” serta mendapatkan perlindungan jenama di 122 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Brazil."Ini mengurangkan kos serta menudahkan cara menjalankan perniagaan, dan juga dapat menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia adalah ahli ke-106 dalam Protokol Madrid.

Muez berkata pada tahun depan pula, pindaan akan dibuat untuk dua akta iaitu Hak Cipta dan Paten bagi mematuhi Perjanjian Budapest dan Perjanjian Marrakesh supaya Malaysia setanding dengan negara lain dari segi perlindungan harta intelek (IP).“Kesemua inisiatif ini adalah untuk menjadikan kerajaan ini mesra perniagaan kerana dengan meminda undang-undang yang lama dan tidak relevan bukan sahaja membantu masyarakat perniagaan malah mampu merancakkan perniagaan dan pasaran domestik,” katanya.

-- BERNAMA