GEORGE TOWN, 27 April (Bernama) -- Lebih banyak barang akan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Aidilfitri ini bagi memberi manfaat kepada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.Beliau berkata dengan penambahan bilangan barangan dalam skim itu, pengguna akan mempunyai banyak pilihan untuk membeli barangan pada harga lebih murah."Selain barangan kawalan sempena musim Ramadan dan perayaan Aidilfitri ini, kita juga akan memanjangkan tempoh masa penguatkuasaan dari tahun lepas. Jika sebelum ini tempoh penguatkuasaan yang dilaksanakan adalah sekitar 15 hari, kali ini kita akan panjangkan tempoh berkenaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan peserta progam Kayuhan Pengguna Bijak sempena Karnival Kepenggunaan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.Saifuddin berkata penambahan item barangan serta tempoh pemanjangan masa bagi penguatkuasaan skim berkenaan akan diumumkan kelak.Sementara itu, Saifuddin berkata kementeriannya turut menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi."Ini akan memudahkan kami di KPDNHEP menguar-uarkan kepada pengguna supaya pengguna tidak terkejut jika ada sebarang kekurangan bekalan di mana-mana," katanya.Program kayuhan sejauh 15 kilometer itu melibatkan kira-kira 100 peserta.
-- BERNAMA