Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah mengadakan Program Smart Living dan Kecekapan Tenaga. Program ini telah diadakan di Jasin Heritage Golf Club, Melaka pada 13 April 2019 bersamaan dengan hari Sabtu. Wakil bagi pihak TNB ialah Ir. Ahmad Rezahan Bin Mohammad, Ketua Perkhidmatan Pelanggan negeri Melaka dan Tuan Haji Ismail, Pengarah (Business Partner) Melaka. Manakala, wakil bagi pihak FOMCA ialah Mr. Saravanan Thambirajah. Program ini juga diraikan bersama-sama dengan Pemimpin Komuniti Daerah Jasin.
Kecekapan tenaga adalah langkah pertama dan yang paling penting ke arah melaksanakan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui. Penggunaan yang lebih cekap tenaga di negara kita boleh mengurangkan wang perbelanjaan tenaga oleh pemilik rumah, sekolah, agensi-agensi kerajaan, perniagaan, dan industri.
Oleh itu, tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Meter Pintar kepada pengguna-pengguna di seluruh kawasan Melaka (pilot projek). Meter pintar adalah peranti elektronik yang mampu merekod penggunaan tenaga elektrik dan menyampaikan maklumat kepada pembekal elektrik untuk pemantauan dan pengebilan dari semasa ke semasa dengan hanya menggunakan applikasi MyTNB. Meter pintar biasanya merekodkan penggunaan tenaga elektrik setiap 30 MINIT dan menyalurkannya ke sistem pengkalan data pihak utiliti. Meter pintar membolehkan komunikasi dua hala antara meter dan sistem pusat.
Di samping itu juga, penggunaan Meter Pintar ini dapat membantu untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar melalui Portal myTNB yang telah dilengkapi data dari Meter pintar membolehkan pengguna untuk memantau penghasilan karbon dioksida atas setiap penggunaan elektrik di rumah mereka. Justeru itu, pengurangan pelepasan karbon dioksida melalui penggunaan tenaga elektrik ini secara langsung dapat mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar.
Oleh itu, pada era modenisasi ini, pengguna semakin bijak dalam menguruskan penggunaan elektrik. Bagi meningkatkan tahap keberkesanan dan kualiti hidup, kerajaan Malaysia lebih banyak mempromosikan Internet of Things (IoT), ke arah revolusi industri 4.0 dan kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersama-sama merealisasikan hasrat berkenaan bermula dengan Smart House with Smart Meter.