RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama CyberSecurity Malaysia untuk bekerjasama dalam menangani masalah kecurian identiti yang semakin meluas di negara ini, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap langkah pencegahan agar tidak menjadi mangsa.Melalui kerjasama itu, RAMCI dan CyberSecurity Malaysia melancarkan kempen kesedaran orang ramai, ‘Hentikan Kecurian Identiti’ bagi meletakkan semula kuasa di tangan rakyat Malaysia.
Menerusi kempen ini, orang ramai akan lebih berpengetahuan tentang kecurian identiti serta kaedah mengesan penyalahgunaan identiti dan melindungi diri dari kecurian identiti.Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dalam satu kenyataan di sini, berkata, kecurian identiti sememangnya jenayah serius.“Jika tidak dibendung segera, ia akan memberi kesan yang amat mendalam terhadap seseorang individu dari segi kewangan dan kredit, malah boleh melibatkan kerugian jutaan ringgit. Jadi kita perlu menghentikan kes kecurian identiti.
“Apabila identiti anda jatuh ke tangan yang salah, anda akan menjadi mangsa. Maklumat anda bukan lagi sulit, si pelaku akan berupaya membuka akaun, mengeluarkan pinjaman, malah menggunakan baki kredit anda dan menghabiskannya,” katanya.Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif RAM Credit Information (RAMCI), Dawn Lai, biarpun dengan ancaman kecurian identiti, gaya hidup masa kini membuatkan kehidupan bergantung kepada kemudahan dalam talian untuk pelbagai jenis transaksi.“Hasilnya, maklumat peribadi mungkin terancam. Di zaman ini, kata laluan sahaja tidak mencukupi untuk melindungi maklumat peribadi. Pengguna haruslah lebih peka untuk menyemak laporan kredit dengan kerap dan memastikan ia sentiasa tepat dan terkini,” katanya.
Pada majlis itu, RAMCI turut melancarkan JagaMyID Plus yang merupakan versi terkini JagaMyID, sebuah kemudahan pemantauan kredit yang komprehensif buat individu bagi melindungi skor kredit peribadi mereka dan melindungi diri dari kecurian identiti, dengan manfaat tambahan perlindungan insuran 24 jam seluruh dunia.Sehingga 16 Mei 2019, sempena Kempen Hentikan Kecurian Identiti, JagaMyID Plus ditawarkan pada harga istimewa, RM79.20 (termasuk SST) DAN diskaun 20 peratus untuk langganan satu tahun.Pengguna hanya perlu memasukkan kod promo: JAGAMYID untuk menikmati tawaran istimewa tersebut.