GEORGETOWN: Pengumuman kerajaan untuk memperluaskan program Food Bank Malaysia ke semua universiti awam melegakan Mohammad Ariffudin Sah Harudin, 27, seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM).Selama belajar di situ, pelajar jurusan geografi bandar dan metropolitan itu mengakui mengalami masalah kewangan, meskipun beliau penerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).“Sehari saya akan makan sekali atau dua kali sahaja untuk berjimat dan kadangkala perlu mencari alternatif sendiri seperti menyertai program yang menawarkan makanan percuma,” katanya kepada Bernama.Apabila mengetahui Kementerian Kewangan meluluskan RM3 juta Isnin lalu untuk Food Bank Malaysia itu diperluaskan ke semua universiti awam, beliau berkata, usaha baik kerajaan itu akan membantunya memberikan lebih tumpuan kepada pengajiannya tanpa terlalu risau tentang keperluan harian.
“Saya dari keluarga yang sederhana. Ibu saya suri rumah dan ayah saya sudah tujuh tahun meninggal dunia. Saya cuba belajar berdikari mencari peluang dan sumber-sumber yang boleh membantu saya,” katanya yang juga anak keenam daripada lapan orang adik-beradik.Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Amir Hakim Razali, 23, pula tidak segan menyatakan selama ini beliau menjual coklat dan kerepek selama ini bagi menampung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan reka bentuk produk.“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa saya yang bekerja sendiri di Alor Setar, Kedah. Tambahan pula adik-adik masih bersekolah. Jadi saya cubalah mencari duit belanja sendiri,” katanya.
Strategi ‘tambah pendapatan, jimat perbelanjaan’ yang diamalkan beliau mengambil kira jumlah bantuan pinjaman PTPTN yang terhad yang diterimanya setiap enam bulan dan kos perbelanjaan yang perlu ditanggungnya.Beliau berkata, perluasan program Food Bank Malaysia itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung di bahunya selama ini dan membolehkannya memberikan lebih banyak tumpuan lagi untuk menamatkan pengajiannya dengan jaya.“Ini langkah tambahan yang sesuai dilaksanakan oleh kerajaan supaya pelajar-pelajar kita tidak terlalu memikirkan tentang perbelanjaan seharian mereka sehingga kurang tumpuan kepada pengajian,” katanya.
Syafiqah Rozzali, 23, pula menganggap perluasan program Food Bank Malaysia ke universiti awam sebagai satu strategi yang baik daripada kerajaan untuk membantu pelajar institut pengajian tinggi secara bersasar dan tidak akan dapat disalahgunakan.Penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berkata, bantuan dalam bentuk pemberian makanan kurang mendapat perhatian selama ini dan bantuan yang diketahui diberi hanyalah dalam bentuk kewangan.“Saya percaya sebahagian besar pelajar seperti saya tidak mahu memikirkan sangat soal-soal pengurusan kewangan kerana mahu menumpukan kepada pelajaran. Tapi, kita terpaksa juga memikirkannya dan mencari jalan penyelesaian,” katanya.Beliau yang kini dalam tahun ketiga pengajian kerja sosial di Unimas berkata, langkah terbaharu kerajaan ini sejajar dengan hasrat untuk memenuhi keperluan lain pelajar universiti dan bukannya keperluan kewangan semata-mata.
“Usaha kerajaan dalam membantu pelajar kurang berkemampuan ini satu inisiatif yang baik dan berharap program itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan secara berterusan,” katanya. - BERNAMA