SIAPA sangka 35 tahun lalu idea yang dicetuskan oleh Dr. Mohamed Awang Lah yang pada ketika itu merupakan ahli akademik di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia luar menerusi jaringan internet berjaya mengubah landskap komunikasi negara.Usaha mencipta dimensi baharu komunikasi itu diteruskan lagi olehnya pada tahun 1991 melalui penubuhan Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) yang merupakan penyedia pertama perkhidmatan internet sehingga melayakkan beliau diiktiraf sebagai Bapa Internet Malaysia.Selepas tiga dekad berlalu, bermula dengan penubuhan Jaring kini rakyat mampu mengecapi pelbagai kemajuan dan perkembangan teknologi internet hingga membolehkan semua perkara dapat dilakukan di hujung jari.Data yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan, jumlah pelayar internet di Malaysia meningkat sebanyak 880 peratus daripada 2.5 juta pengguna pada tahun 2006 kepada 24.5 juta pada 2017.Lebih memeranjatkan, rakyat Malaysia berusia bawah 18 tahun merangkumi sebanyak 5.8 peratus atau kira-kira 1.8 juta daripada pengguna internet di negara ini.

Bagaimanapun, kemajuan internet dilihat gagal membawa sinar kemajuan berpanjangan. Sebaliknya, ia diibaratkan seperti pisau bermata dua ekoran penggunaannya mampu memberikan manfaat dan impak negatif kepada pengguna.Kegilaan melayari internet dalam kalangan belia berusia antara 20 hingga 49 tahun berada pada tahap membimbangkan apabila 76.1 peratus daripada mereka menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam sehari bagi melayari laman sosial.Pakar Psikologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor menjelaskan, ketagihan internet boleh didefinisikan sebagai kecenderungan untuk melakukan perkara sama setiap hari bagi mendapatkan keseronokan dan kepuasan berpanjangan.Menurutnya, individu mengalami ketagihan internet turut berdepan sindrom seperti mudah terpengaruh dengan capaian maklumat, kerap membuang masa dan lebih gemar bersosial di laman media sosial berbanding alam realiti.

Fitnah

“Apabila mereka bersosial di laman media sosial, ia akan membuka ruang kewujudan elemen-elemen bersifat sensasi bagi meraih perhatian pelayar selain mahu mendapatkan keseronokan semata-mata.“Dalam konteks ini, penagih internet berkemungkinan memuat naik status bersifat sensasi dan melebih-lebih meskipun tidak mempunyai bukti kukuh terhadap apa yang diutarakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.Mariani menambah, lumrah kehidupan masyarakat yang gemar mendengar cerita berkonsepkan sensasi berbanding fakta turut menjadi pemangkin kepada individu tersebut untuk terus mewujudkan berita-berita palsu.“Kebiasaannya, seseorang individu cenderung menyebarkan berita palsu disebabkan oleh dua faktor iaitu meraih kepuasan diri sendiri dan bagi memenuhi matlamat persekitaran.

“Matlamat persekitaran pula digambarkan sebagai penyebaran berita palsu bagi memburukkan sesebuah pihak seperti memfitnah kerajaan demi meraih undi rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak,” jelasnya ketika dihubungi.Sementara itu, pakar sosial juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menjelaskan, usaha membanteras penularan berita palsu perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.“Jika wabak ini tidak dihapuskan segara kemungkinan besar kemajuan dan pembangunan yang dicipta oleh pemimpin terdahulu dan sekarang akan musnah ekoran fitnah yang dilemparkan menerusi medium media sosial.

“Jadi, tindakan kerajaan mewujudkan satu akta baharu bagi mengekang penyebaran berita palsu dilihat sebagai usaha tepat khususnya dalam memelihara ketenteraman awan dan negara,” ujarnya.Jelasnya, tindakan kerajaan mewujudkan satu portal khas bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan sesuatu berita juga merupakan langkah terbaik bagi mengawal penularan berita palsu.Dalam pada itu, penularan berita palsu bukan sahaja melibatkan unsur fitnah untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan sebaliknya turut menjadikan golongan selebriti dan artis terkenal sebagai sasaran oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sensasi

Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan merupakan antara artis yang pernah menjadi mangsa penyebaran berita palsu menerusi medium internet apabila dikhabarkan meninggal dunia pada tahun 2015 dan 2016.Menurut Jalaluddin, tindakan segelintir individu mewujudkan berita palsu bagi meraih perhatian orang ramai, terutamanya di laman media sosial, disifatkan sebagai rosak akhlak dan kurang didikan agama.“Bayangkan, bagaimana perasaan keluarga, sahabat handai dan peminat saya ketika itu apabila mengetahui berita berkaitan kematian orang tersayang. Ia sangat mengganggu emosi dan kehidupan mereka.

“Saya tidak tahu apa tujuan utama individu terbabit menyebarkan berita sedemikian. Adakah mahu berseronok atau sekadar meraih perhatian menerusi penulisan sensasi dan tidak sahih,” katanya.Bekas pengacara program Who Wants To Be A Millionaire itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mempercayai dan berkongsi sesuatu berita tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu.“Kita perlu menjadi rakyat yang bijak dan berupaya menilai sama ada maklumat tersebut benar atau sebaliknya dan hanya berkongsi sesuatu berita apabila mengetahui kebenarannya sahaja.“Jangan disebabkan keghairahan untuk berkongsi berita sensasi ia akan menyebabkan kepincangan dalam kalangan anggota masyarakat,” tegasnya.