KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera mengambil inisiatif untuk meringankan beban ekonomi rakyat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.Mohamed Azmin yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi dalam kenyataannya hari ini berkata, majlis itu akan segera melaksanakan usaha mengurangkan kos sara hidup, memperkukuh pendapatan rakyat, membasmi kemiskinan dan meningkatkan tahap pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.“Pakatan Harapan (PH) juga akan menggandakan usaha melaksanakan perubahan sehingga menjadi sumber kekuatan rakyat.“Kita harus berani melaksanakan janji-janji khususnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang juga bahagian integral agenda nasional dan kita akan melaksanakannya tanpa rasa apologetik atau bimbang terhadap kritikan luar,” katanya.Mohamed Azmin berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ialah mesej jelas daripada rakyat yang menuntut kerajaan PH segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.
“Kita harus bertindak secara kolektif dalam satu semangat untuk melaksanakan agenda reformasi dan pembangunan untuk rakyat.“Menginsafi suara rakyat dalam PRK DUN Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands, PH akan segera menggarap mesej pengundi dengan mengemukakan inisiatif baharu sebagai langkah pada masa depan,” katanya.Mohamed Azmin yang juga Naib Presiden PH, berkata pihaknya akan menjiwai sentimen yang dizahirkan rakyat dan komited untuk mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan isu yang sedang membelenggu rakyat.“Justeru, marilah kita bermuafakat dan komited untuk melaksanakan harapan serta mandat rakyat dengan penuh kesedaran,” katanya. - BERNAMA