KUALA LUMPUR: Perbuatan mengintai dan menghendap bakal menjadi satu kesalahan dan rang undang-undang (RUU) mengenainya dijangka dibentang di Parlimen Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.Beliau berkata dokumen penting berkaitan RUU berkenaan telah diserahkan kepadanya untuk diteliti, seterusnya dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan, sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri untuk persetujuan dan kelulusan.“Saya kini sedang meneliti draf rang undang-undang itu yang telah siap. Ia boleh dibentang dengan cepat jika ada kesungguhan, saya menjangka pada tahun ini juga. Untuk sesi persidangan (Parlimen) bulan Mac mungkin tidak sempat kerana terlalu suntuk, tapi kita melihat kemungkinan bulan Julai dan Oktober.
“Ia boleh dibuat cepat sekiranya semua kertas berkaitan telah siap. Ini adalah rang undang-undang mengenai ‘stalking’, mengintai dan menghendap,” katanya kepada wartawan di luar persidangan Rantau Asia “Kepimpinan Politik Wanita : Mewujudkan Perubahan Positif” di bangunan Parlimen hari ini. - BERNAMA