MELAKA: Paras air di semua empangan di Melaka masih terkawal walaupun cuaca kering diikuti taburan hujan yang kurang sejak beberapa bulan lalu.Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata Empangan Jus dan Asahan di daerah Jasin dan Empangan Durian Tunggal di daerah Alor Gajah, masing-masing merekodkan paras air kira-kira 90 peratus, sekali gus mencatat penurunan 10 peratus sejak Disember tahun lalu.Beliau berkata, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengambil tindakan segera sejak tahun lalu, termasuk membersih dan mendalamkan empangan bagi membolehkan paras air sentiasa stabil.
“Kita sudah melakukan kerja menyelenggara kolam takungan air dan mendalamkannya, supaya ia mampu menampung bekalan air lebih tinggi ketika musim kemarau ini.“Ketika ini ketiga-tiga empangan terbabit hanya mencatat penurunan 10 peratus sejak Disember tahun lalu,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan 2019 kepada 314 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Beruang di sini, hari ini.Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari dan Guru Besar SK Bukit Beruang, Zaiton Zainal.Adly meminta orang ramai mengelak pembaziran air bagi memastikan tahap paras air terus stabil.“Walaupun paras air di semua empangan di Melaka masih tinggi, rakyat perlu berjimat-cermat menggunakan air kerana ia memberi impak langsung kepada masyarakat lain,” katanya.