PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pagi ini.Skim berkenaan akan memanfaatkan kira-kira 3.69 juta penerima terdiri daripada isi rumah kumpulan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) yang juga penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 (BSHR).
Dr Mahathir, dalam ucapan perasmiannya, berkata Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk membantu golongan B40 menangani kesulitan kewangan yang timbul akibat kemasukan ke wad hospital kerajaan atau ditimpa salah satu daripada 36 penyakit kritikal yang tidak diduga."Kerajaan menjangkakan seramai 3.69 juta rakyat yang berumur 18 sehingga 55 tahun akan layak untuk menerima manfaat skim insurans berkenaan," katanya.
Tambah beliau, skim itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman di kalangan B40 mengenai perlindungan insurans serta takaful.Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap skim itu juga berupaya membina kepercayaan terhadap insurans dan perlindungan takaful hasil dari perkhidmatan.Menurutnya, walaupun beban kewangan yang diwarisi adalah besar lagi berat, ia tidak akan menjadi halangan untuk kerajaan memperkenalkan program-program mesra rakyat seperti Skim mySalam.
"Walaupun kelihatan berdikit dan agak hati-hati dalam melaksanakan program-program ini, kerajaan akan memastikan usaha terbabit mencapai golongan sasaran dan mereka yang memerlukan akan menerimanya."Kita akan berusaha sedaya upaya untuk menjana dana untuk meringankan beban rakyat dan untuk mencapai matlamat itu, kita turut mengambil langkah-langkah inovatif dan alternatif."Usaha kami ini sudah mula membuahkan hasil dan Skim mySalam ini membuktikan langkah-langkah inovatif dan alternatif terbabit mampu membantu mencapai matlamat untuk membantu rakyat," katanya.Katanya, skim mySalam diperkenalkan dengan sumbangan permulaan yang besar iaitu sebanyak RM2 bilion daripada syarikat insurans dan takaful Great Eastern.
Dalam pada itu, katanya, beliau percaya skim berkenaan akan berjaya menarik dan menambahkan sumbangan kepada Tabung mySalam daripada Great Eastern dan oleh semua penanggung insurans serta pengendali takaful di Malaysia."Saya juga berharap syarikat insurans swasta yang lain dapat berganding bahu untuk memperluaskan jangkauan pemilikan polisi insurans dan takaful rakyat Malaysia," katanya.Menerusi skim itu, penerima yang layak akan mendapat perlindungan kesihatan secara percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal merangkumi kanser, serangan jantung dan penyakit alzheimer.Penerima juga layak mendapat bayaran ‘one-off’ (sekali gus) sebanyak RM8,000 jika dikenal pasti menghidapi salah satu daripada penyakit kritikal berkenaan.
Skim itu juga memberi bayaran harian sebanyak RM50 sebagai pendapatan gantian jika penerima menjalani rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun atau bersamaan dengan RM700 setahun.Skim berkenaan sudah pun bermula pada 1 Januari lalu dan penerima yang layak boleh membuat tuntutan mulai 1 Mac depan.