Fake Facebook News Sites to AvoidKuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertanggungjawab memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk pelakuan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, ia termasuk tindakan menyebar berita palsu, kandungan jelik dan berunsur fitnah.

Menurutnya, SKMM memainkan peranan penting sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang tepat, bertanggungjawab dan peka oleh beberapa organisasi media.

"Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan berlandaskan fakta atau sebaliknya.


"Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif kurang tepat," katanya.

Menurut kenyataan, SKMM sudah mengambil inisiatif mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.

SKMM kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat serta keharmonian masyarakat.

Terdahulu, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai 'menyinggung' dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh SKMM.

Mereka dalam kenyataan bersama meluahkan kebimbangan itu apabila SKMM sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.