Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini seolah-olah tidak dihormati oleh orang ramai. Begitu juga keperluan OKU sering tidak menjadi keutamaan dalam dasar kerajaan. Ini menyebabkan kehidupan OKU semakin sengsara akibat reka bentuk bangunan yang tidak mesra OKU.
Dalam Persidangan Rekabentuk dan Kemudahcapaian Sejagat yang diadakan pada awal bulan Mac tahun ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah berjanji bahawa apabila Malaysia meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, maka kemudahan awam di Malaysia akan lebih akses kepada OKU. Namun begitu, bagi golongan OKU kerajaan tidak begitu minat ke arah perubahan tersebut.
Bangunan kerajaan yang sepatutnya menyediakan ruang yang cukup untuk pergerakan OKU, tetapi ia tidak dilaksanakan. Semua bangunan dan premis kerajaan tidak dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU.
Sebagai contoh, bangunan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, terdapat lerengan berdekatan dengan pintu masuk, tetapi disediakan tempat letak kereta OKU. Selain itu, motosikal dan kereta diparkir merata-rata tempat sehingga menghalang laluan ke lerengan tersebut.
Keadaan ini sudah pasti akan menghalang OKU yang berkerusi roda atau bertongkat, menggunakan lerengan tersebut. Selain itu, lerengan yang disediakan itu tidak mencapai tujuan asalnya.
Dalam pada itu, kemudahan-kemudahan yang dilabelkan untuk kegunaan OKU sememangnya tidak dapat menampung keperluan OKU. Sebarang reka bentuk untuk kegunaan OKU sepatutnya selaras dengan keperluan mereka. Namun, di Malaysia, sebarang reka bentuk adalah untuk kegunaan pihak pemilik bangunan sahaja.
Ketidakcapaian kepada persekitaran yang mesra OKU ini menunjukkan ketidakupayaan pihak berkuasa untuk memenuhi keperluan OKU. Walaupun kerajaan telah meratifikasikan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya, tetapi sehingga kini keperluan untuk OKU masih belum dipenuhi.
Oleh itu, kerajaan perlu memandangkan serius terhadap keperluan OKU selaras dengan Konvensyen untuk Hak Orang Kurang Upaya agar golongan ini dapat diterima dalam masyarakat dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
20 April 2010