engendali penerbangan tambang murah AirAsia telah memutuskan untuk tidak menggunakan perkhidmatan ‘aerobridge’ di lapangan terbang baru iaitu KLIA 2 yang bakal dibuka pada tahun hadapan.

‘Aerobridge’ merupakan laluan penghubung bagi penumpang memasuki pesawat dari terminal tetap atau sebaliknya.

Di lapangan terbang baru, ‘aerobridge’ tidak akan disediakan di setiap terminal yang berhubung dengan pesawat. Menurut Ketua Eksekutif AirAsia, hanya 6 hingga 8 ‘serobridge’ disediakan semasa cuaca buruk atau hujan lebat sahaja dan bukannya untuk tujuan kegunaan penumpang.

Penolakan penggunaan aerobridge ini akan menimbulkan masalah, jika pada satu masa tertentu, semua pesawat mempunyai penumpang yang menggunakan kerusi roda atau memerlukan kegunaan ‘aerobridge’, bagaimana keperluan mereka dapat dipenuhi?

Pada masa sekarang, di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), tiada ‘aerobridge’ digunakan dan hanya ‘ambulift’ disediakan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) seperti penumpang yang menggunakan kerusi roda.

Manakala, ‘ambulift’ ini juga tidak disediakan di setiap lapangan terbang di Malaysia yang tidak mempunyai ‘aerobridge’. Oleh itu ia memang menimbulkan masalah pada golongan yang memerlukannya.

Di samping itu, keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila ‘ambulift’ digunakan oleh pihak lain, penumpang yang menggunakan kerusi roda terpaksa diangkat dari lapangan ke atas pesawat atau sebaliknya.

Bagi lapangan terbang yang tidak mempunyai ‘aerobridge’ atau ‘ambulift’, golongan OKU yang menggunakan kerusi roda ataupun golongan yang mempunyai mobiliti yang kurang tidak dapat ke tempat tersebut.

Ini telah menyekat hak mereka untuk ke sesuatu tempat. Jika ‘aerobridge’ tidak disediakan di lapangan terbang baru, golongan OKU akan terpinggir daripada sektor pelancongan.

Menurut AirAsia, perkhidmatan ‘aerobridge’ yang terbabit boleh menjejaskan konsep penerbangan tambang murah. Namum, keperluan manusia perlu dipertimbangkan di tempat pertama.

Dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Artikel 9, Kebolehaksesan (Accessibility) menyatakan bahawa:
- Untuk memastikan seseorang OKU hidup dengan berdikari dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam kehidupannya, kerajaan perlu memastikan bahawa akses OKU ke alam sekitar, pengangkutan awam, informasi dan komunikasi, kemudahan dan perkhidmatan awam sama ada di dalam atau luar bandar adalah sama rata dengan orang lain.

Malaysia telah menandatangani Konvensyen Hak OKU ini. Oleh itu, dengan adanya ikatan kerajaan Malaysia pada konvensyen ini, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kemudahan yang mesra OKU disediakan.

‘Aerobridge’ sememangnya satu keperluan kepada golongan OKU, warga emas dan ibu mengandung apabila mereka ingin menggunakan kapal terbang. Jika ‘aerobridge’ disediakan, mereka tidak perlu berjalan jauh dan memanjat anak tangga seperti di LCCT sekarang.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia