KUALA LUMPUR - Kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) di ibu negara akan ditambah dan dipertingkat bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan urusan harian dengan lebih selesa dan selamat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan oleh pihak kementerian dan agensi di bawahnya.
Antara kemudahan untuk OKU yang akan ditambah ialah laluan khas atau tanjakan untuk memasuki bangunan, laluan pejalan kaki yang lebih mesra OKU terutama untuk yang berkerusi roda dan cacat penglihatan serta tandas untuk OKU.
"Ada beberapa tempat yang langsung tak ada kemudahan untuk golongan OKU...justeru kementerian menerusi pelbagai agensi di bawahnya akan melakukan tinjauan di sekitar ibu kota dan merangka pelan untuk pembinaan kemudahan OKU kelak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program OKU Sahabatku Fun Ride 2.0 anjuran Yayasan Prihatin Insan (YPI) di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi YPI Ishak Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. - K! ONLINE