PETALING JAYA: Kerajaan perlu melaksanakan dasar-dasar yang mampu menangani masalah peningkatan jumlah pesakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia yang mana turut membebankan sistem kesihatan negara.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George berkata kerajaan perlu menaikkan cukai gula untuk mengekang pengambilan gula berlebihan dalam kalangan masyarakat.
“Kenaikan cukai gula akan meningkatkan harga produk yang mengandungi gula sekali gus mampu membantu mengurangkan kadar obesiti dan penyakit berkaitan seperti diabetes.
“Hal Ini akan memberi manfaat kesihatan jangka panjang kepada masyarakat dan mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan negara,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kerajaan terpaksa membelanjakan RM5 bilion setahun bagi merawat pesakit diabetes akibat kecenderungan rakyat suka makanan bergula dan manis.
Peningkatan jumlah pesakit diabetes membimbangkan kerana ketika ini sahaja kira-kira 3.9 juta rakyat dewasa dikesan menghidap penyakit berkenaan dan bilangannya dijangka meningkat lima peratus lagi dalam masa terdekat.
Sementara itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata peraturan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi mengurangkan pemasaran produk yang tidak sihat terutamanya kepada kanak-kanak.
Asyikin berkata, pemasaran makanan yang tidak sihat perlu diharamkan daripada mana-mana bentuk pengiklanan.
Selain itu, katanya, pendidikan pengguna perlu disasarkan kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga komuniti pengguna untuk mempromosikan tabiat pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang seimbang.
“Pendidikan ini perlu dijalankan secara berterusan kerana tabiat pemakanan ini bukan mengambil masa sehari dua untuk mengubahnya,” katanya.