SHAH ALAM - Harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.51 per kilogram berdasarkan pemantauan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat.

Bagi harga purata di Semenanjung Malaysia adalah RM8.46 per kilogram, di Sabah (RM11.61), Sarawak (RM10.14) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM12.50).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pemeriksaan dan pemantauan harga barang dilakukan di Pasar Awam Presint 8, Putrajaya dan Pasar Awam Kajang, Selangor.

"Tujuan pemeriksaan dan pemantauan ini dilaksanakan bagi meninjau situasi semasa yang berlaku di lapangan berhubung penjualan ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan ke atas harga ayam bermula 1 November 2023.

"KPDN telah menggerakkan lebih 2,200 orang anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).


"Ia bagi memantau situasi harga ayam yang telah diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa dengan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak kementerian.

"Pengguna turut disarankan agar memanfaatkan sepenuhnya aplikasi mudah alih Price Catcher semasa berbelanja dan membuat perbandingan harga serta merancang perbelanjaan secara berhemah," katanya.