PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) bimbang cadangan memperkenalkan kad pengenalan khas bagi membeli minyak masak peket hanya akan meningkatkan kos operasi perniagaan yang akhirnya ditanggung pembeli.
Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agungnya T Saravanan berkata pihaknya memahami dan menyokong usaha kerajaan untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar namun pada masa sama bimbang kaedah baharu itu mungkin menyebabkan kerenah birokrasi.
Menurutnya, kerumitan kepada pengguna dijangka membabitkan pendaftaran dan mungkin meningkatkan kos operasi perniagaan.
“Kerajaan harus menyediakan bantuan dan infrastruktur agar pelaksanaan kad ID tidak bebankan peniaga, jika melibatkan kos kepada perniagaan…mungkin dipindah kepada pengguna,” katanya yang meminta pihak terbabit menjelaskan lanjut kaedah pelaksanaannya.
Saravanan berkata, masalah sebenar harus diatasi kerajaan adalah memastikan bekalan minyak masak peket mencukupi di pasaran.
“Masalah sekarang ramai pengguna B40 merungut kerana tidak dapat membeli minyak masak peket dan terpaksa membeli minyak masak dalam botol.”
Isnin lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata kerajaan akan memperkenalkan kad pengenalan khas untuk pembelian minyak masak peket, tahun depan.
Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan barangan bersubsidi itu hanya dibeli oleh kumpulan yang layak iaitu 5.8 juta isi rumah golongan M40 dan B40, selain kira-kira satu juta pengguna dalam kalangan usahawan mikro seperti peniaga ayam goreng, pisang goreng serta keropok lekor.
Pada 11 Sept, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata program bersubsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan menerusi sistem pangkalan data utama (Padu).