KUALA LUMPUR: Cadangan untuk melarang jualan beras putih tempatan kepada warga asing adalah satu mekanisme yang tidak relevan dan ia bukanlah jalan terbaik untuk mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu di pasaran.
Pendapat itu disuarakan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin yang berkata, ia mengambil kira hak semua individu termasuk warga asing mendapatkan bahan makanan itu selari dengan keperluan asas seorang manusia.
“Memang tak boleh larang sebab ini mengenai berkaitan makanan. Ia turut mengambil kira barangan subsidi sekarang terjual di pasaran terbuka,” katanya lagi.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bahawa kerajaan tidak bercadang melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang berada di negara ini.
Nur Asyikin berkata, mekanisme terbaik buat masa ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras yang sedang dihadapi ketika ini adalah menerusi pemberian kad subsidi seperti yang dicadangkan sesetengah pihak.
“Mungkin penguatkuasaan boleh dibuat melalui pemberian kad subsidi seperti yang sedang dibincangkan sekarang. Bila ada kad subsidi maka ada rekod pembelian dan pemberian subsidi ini lebih bersasar,” katanya.
Beliau berkata, melalui langkah itu juga secara tidak langsung isu ketirisan barangan subsidi termasuk beras tempatan diseludup negara jiran dapat ditangani.
“Jadi asasnya di sini, kerajaan perlu utamakan keperluan rakyat kita yang lebih memerlukan, perlu buat sesuatu supaya barangan subsidi kita lebih bersasar dan tidak tiris kepada pihak luar,” katanya.