April 20, 2021 @ 10:58am
Kuala Lumpur: Permintaan sesuatu barangan yang meningkat secara luar biasa dan dalam tempoh yang singkat menyebabkan berlaku kenaikan harga dalam pasaran.
Itu situasi yang berlaku setiap kali musim perayaan di negara ini sehingga mengundang kegelisahan pengguna.
Profesor di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata, kajian menyeluruh wajar dilakukan ke atas pembekal utama bagi mengenal pasti punca kenaikan harga.
Katanya, senario harga meningkat pada musim perayaan didorong faktor rantaian permintaan dan penawaran yang berubah drastik dalam tempoh singkat.
"Ketika musim perayaan, operasi perniagaan berada pada tahap berbeza berbanding sebelumnya. Permintaan lebih, logistik meningkat dan sudah pasti ia mempengaruhi harga.
"Namun ada juga isu peniaga yang sengaja menaikkan harga barang, yang akhirnya menekan pengguna," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, rantaian bekalan perlu dirancang dengan lebih teliti mengambil kira jangkaan peningkatan dalam permintaan.
Katanya, kajian perlu dilakukan untuk mengenal pasti sama ada wujud kenaikan harga di peringkat pembekal atau pun perkara lain di sepanjang rantaian bekalan.
"Sumber yang paling atas itu kita perlu lihat kerana margin untung di peringkat peruncit masih rendah. Sudah tentu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemeriksaan berkala, terutama ketika musim perayaan.
"Ada kapasiti dari segi pekerja, pusat pemprosesan dan pelbagai lagi. Bila permintaan tinggi dalam satu-satu masa, kita tidak tahu kos apa yang meningkat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Transformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, memandangkan ia adalah isu tahunan yang dihadapi, sudah sampai masanya pengguna bertindak bijak membuat perbandingan harga terlebih dulu.
Katanya, dengan adanya kemudahan disediakan KPDNHEP, pengguna boleh mengetahui premis dan harga yang terbaik tanpa perlu membayar lebih.
"Ini yang dikatakan transformasi. Sebelum ini dalam banyak keadaan, peniaga dikatakan memanipulasi dan menentukan harga barang.
"Tapi jika pengguna sentiasa bijak berbelanja, maka sudah tentu kuasa penentuan adalah mereka sendiri dan mana-mana peniaga yang sengaja menaikkan harga, sudah pasti akan rugi," katanya.
Menurutnya, hasil pemantauan GPTM mendapati, masih ramai yang tidak menyedari wujud aplikasi untuk menyemak harga semasa barangan di pasaran.
Katanya, isu seperti ini akan berlanjutan dalam tempoh masa lama, namun kesedaran pengguna akan memastikan keadaan itu dapat diubah, ditambah dengan penguatkuasaan berterusan pihak berkuasa.