Jaminan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa harga gula tidak akan dinaikkan sebelum dan selepas Tahun Baru Cina amat dialu-alukan. Jaminan ini bertujuan supaya pengguna tidak membuat pembelian panik dan dalam masa yang sama juga mengelakkan pemborong daripada menyorok bekalan tersebut.
Namun begitu, bagi pengguna, yang penting bukan sahaja faktor harga, tetapi juga bekalan yang sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan harian, khususnya untuk kegunaan semasa perayaan, seperti Tahun Baru Cina.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu memantau kegiatan pengilang dan pemborong. Pengilang boleh bertindak mengurangkan pengeluaran untuk pasaran runcit dan memperbanyakkan pengeluaran untuk kegunaan industri yang lebih luas pasarannya.
Begitu juga dengan pemborong. Ada peruncit yang mengadu bahawa pemborong menjual gula pada harga RM1.65, menyamai harga runcit yang ditetapkan oleh kerajaan. Apa keadaan ini berlaku peruncit berada dalam keadaan dilema, iaitu sama ada menjual gula tersebut pada harga yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan, dan bersedia untuk menerima tindakan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, atau tidak menjualnya langsung. Jika pilihan kedua yang diambil, maka pengguna akan berhadapan dengan masalah ketiadaan bekalan gula.
Akta Kawalan Harga 1946 perlu dikaji semula agar tindakan penguatkuasa tidak hanya dilakukan ke atas peruncit sahaja, tetapi juga kepada pengilang dan pemborong.
20hb Januari 2010
Mohd Yusof Abdul Rahman