Akhbar hari ini melaporkan tentang air suam di beberapa buah kopitiam di Kuantan mengenakan caj sebanyak 50 sen hingga 60 sen. Beberapa orang pelanggan kopitiam tersebut tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana dianggap sebagai tidak munasabah.
Walaupun harga makanan di restoran termasuk kopitiam adalah tidak dikawal oleh kerajaan, namun ia tidak bermakna mereka boleh sewenang-wenangnya meletakkan harga makanan dan minuman.
Menurut Akta Kawalan Harga 1946, semua peniaga hendaklah meletakkan tanda harga bagi barang jualan mereka. Tujuan penandaan harga itu bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sama ada hendak melanggan di kedai tersebut atau tidak.
Kebiasaannya pelanggan restoran atau kopitiam akan membayar selepas makan dan minum. Mereka hanya mengetahui harga makanan dan minuman apabila ingin membayar di kaunter. Jika restoran tidak meletakkan tanda harga, maka pengguna boleh mempertikaikan harga yang dikenakan.
Jika pihak restoran enggan melayani bantahan pengguna, maka buat aduan kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di talian hotline: 1-800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000.
Mohd Yusof Abdul Rahman