See the source image5 November 2020
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa memantau produk-produk makanan di pasaran termasuk produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, dexamethasone dan prednisolone.

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh BKKM sepanjang tahun 2019 hingga Ogos 2020, didapati sebanyak 21 produk makanan membabitkan 16 jenama daripada sejumlah 849 produk makanan yang dianalisis didapati mengandungi racun berjadual yang dilarang penambahannya dalam makanan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Tindakan undang-undang telah diambil ke atas pengeluar atau pengedar 4 daripada 16 jenama produk makanan yang tidak mematuhi undang-undang tersebut. Walau bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan ke atas 12 jenama produk makanan yang lain mendapati nama dan alamat syarikat adalah palsu atau tidak lengkap. Maklumat semua produk makanan tersebut adalah seperti di lampiran.

Sehubungan itu, KKM memberi amaran dan melarang penjualan semua produk makanan tersebut. Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Orang ramai yang sedang menggunakan produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.

KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Sumber: https://kpkesihatan.com/2020/11/05/kenyataan-akhbar-kpk-5-november-2020-larangan-jualan-produk-makanan-yang-dikesan-mengandungi-racun-berjadual-dan-memaparkan-maklumat-palsu-pada-label/