Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, krisis makanan sekali lagi akan menyelubungi dunia pada tahun 2011. Berdasarkan laporan FAO, harga tanaman bagi makanan utama akan meningkat sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008.

Bil import makanan global dijangkakan melonjak kepada AS$1 bilion (RM 3.13bilion). Sementara peningkatan harga komoditi berlaku secara mendadak buat kali kedua (yang pertama berlaku pada tahun 2008).

Peningkatan ini juga dikatakan berlaku lebih pantas berbanding pada tahun 2007 dan 2008. FAO menegaskan, masyarakat antarabangsa sedang berusaha dengan gigih untuk mempersiapkan langkah-langkah bagi menangani krisis peningkatan pengeluaran tanaman makanan utama secara signifikan pada 2011.

Badan ini meramalkan bahawa bil import makanan bagi dunia "negara termiskin" akan naik 11 peratus pada 2010, sementara untuk negara-negara pengeluar makanan akan naik sebanyak 20 peratus. Ini bermakna, dengan melewatkan satu trilion dolar, bil import makanan global kemungkinan akan naik ke tahap yang tidak diduga sejak harga makanan mencapai kemuncaknya pada tahap rekod pada 2008.

John Stephenson, penulis buku Pelaburan Komoditi juga bersetuju inflasi makanan akan menjadi isu utama pada tahun 2011. Menurut beliau, perubahan diet makanan dengan pertambahan penduduk dunia serta penurunan stok bijirin global dalam 15 tahun terakhir akan meningkatkan harga gandum, jagung dan kacang soya.

Kenaikan harga makanan global turut disokong oleh pakar ekonomi dari RAM Holding Berhad. Pakar ekonomi tidak dapat memastikan sama ada peningkatan ini akan kekal atau bersifat sementara. Namun situasi ini akan menjadi lebih baik jika permintaan untuk harga makanan bergerak secara normal di negara-negara membangun. Harga yang tinggi di negara Barat telah mendorong wujudnya spekulasi harga makanan di negara ini turut akan menjadi mahal. Malaysia adalah pengimport makanan bersih dengan jumlah import sebanyak RM15.8 billion pada tahun 2009. Kenaikan harga makanan global turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan. Apatah lagi hakikatnya jenis barangan keperluan yang dikawal oleh kerajaan sangat minimum.

Sebagai pengguna, pembelian panik seharusnya tidak berlaku disebabkan khabar angin yang menyatakan minyak masak akan naik sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Pemerhatian yang dilakukan kawasan Batu Caves, Sentul dan Batu Muda, minyak kampit 1 kilogram sudah tidak dijual hampir satu bulan. Minyak sawit dan minyak kacang yang dipek secara botol juga sukar diperolehi. Walau bagaimanapun, minyak Cap Bunga Matahari (jenama mahal) lagi masih dijual. Hakikatnya, kerajaan tidak boleh mengawal harga pasaran sekiranya harga minyak dunia meningkat disebabkan pengeluar utama dunia juga mengalami masalah yang sangat meruncing.

Oleh itu, pengguna disarankan mengubah gaya hidup dan cara pemakanan yang lebih sihat dengan mengambil makanan kurang minyak. Pengambilan makanan berminyak boleh membebankan fungsi hati yang antara lain berfungsi sebagai detoksifikasi dan mengurangkan nutrien seperti vitamin dan mineral dalam tubuh. Badan akan mudah terdedah kepada penyakit akibat daripada proses detoksifikasi yang berkurangan ini.

Mengubah gaya hidup adalah cara terbaik bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat. Menuding jari ke arah orang lain tidak mampu mengubah sesuatu yang berlaku. Oleh itu, mari bersama-sama kita mengamalkan prinsip “ PERUBAHAN BERMULA DENGAN SAYA”

Siti Rahayu Zakaria
FOMCA