Makanan merupakan keperluan seharian manusia. Terdapat pelbagai jenis makanan di pasaran. Namun begitu, kualiti dan keselamatan makanan perlu diberikan perhatian kerana ia dapat menjamin kesihatan seseorang. Oleh itu, pihak yang melibatkan diri dalam bidang penyediaan makanan perlu menjaga kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelanggan kerana ia mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan.

Pengadu A

“Saya telah pergi ke sebuah restoran yang terkenal di kawasan Brickfields. Saya dan kawan saya telah memesan sejenis makanan yang sangat popular di restoran itu. Pelayan telah membawa makanan tersebut dan meletak di atas meja. Bau makanan itu agak semacam sahaja. Kami pun makan makanan teresbut. Tiba-tiba kawan saya menjerit, yang menyebabkan saya juga terkejut. Rupa-rupanya, dalam makanan itu mendapati banyak ulat kecil. Ulat-ulat itu biasanya terdapat dalam bangkai binatang. Selepas itu, kami terus melaporkan kepada  pengurus restoran itu. Mereka meminta maaf dan tidak mengenakan bayaran untuk makanan tersebut. Kami terus keluar dari restoran dan membuat aduan di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). Selepas itu, kami telah fobia dan tidak selera untuk makan.“


Pengadu B
“ Saya telah membeli tepung susu jenama K untuk anak saya yang berumur 2 tahun. Setelah pulang ke rumah, tanpa dilihat kandungan tepung susu itu, saya telah membancuh susu dan memberikan kepada anak saya. Semasa saya membasuh botol susu tersebut, saya ternampak serangga-serangga yang kecil dalam botol itu. Sejurus itu, saya melihat dalam pek tepung susu  dan berasa terperanjat. Dalam pek tepung susu tersebut, terdapat banyak serangga yang kecil. Saya terus membawa anak saya ke klinik berdekatan untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada ada perkara yang buruk berlaku. Makanan kanak-kanak juga tidak terjamin kualiti lagi.”

Pengadu C
“Saya telah membelikan coklat jenis D untuk anak-anak saya. Nasib baik, pada hari itu saya yang membuka coklat tersebut. Dalam coklat itu, terdapat 4 ekor ulat. Ulat-ulat itu seperti sudah lama berada dalam coklat itu. Saya telah memeriksa tarikh luput dan mendapati tarikh luput masih lama lagi. Saya memang terkejut dan tidak puas hati terhadap syarikat itu.”

Nasihat NCCC

Berdasarkan kepada contoh-contoh aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang kualiti dan keselamatan makanan. Maka menjadi tanggungjawab pihak pengeluar, pengilang dan penyedia makanan untuk mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat. Namun, sebagai seorang pengguna yang bijak, anda juga perlu mengetahui cara-cara untuk memilih makanan yang berkualiti dan selamat :

a) Lihat tarikh luput makanan
b) Tidak makan makanan yang berbau.
c) Periksa warna sesuatu makanan.
d) Selalu berhati-hati semasa memberi makanan kepada kanak-kanak.
e) Memastikan cara penyimpanan makanan di kedai tersebut adalah betul
f) Memastikan kebersihan premis makanan yang dipilih.
g)Periksa pelabelan makanan

Jadilah sebagai pengguna yang bijak dan cuba menilai kualiti dan keselamatan makanan! Sebarang aduan yang berkaitan dengan makanan boleh dilaporkan kepada :

KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E7, Parcel E, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 WP Putrajaya,
Malaysia.
Tel: +603-8883 3558
Faks: +603-8889 3815 / 3341
E-mel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. 

atau

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
Laman sesawang : www.nccc.org.my

Shanmugapriya Mohan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional