Barang keperluan asas mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan, selain mudah diperoleh, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, orang ramai sekali gus diminta tidak bimbang mengenai bekalan makanan dan keperluan sepanjang tempoh Ramadan kerana ia dijamin mencukupi.
"Selain itu, kita meminta supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang secara mendadak.
"Tindakan akan diambil jika kita mendapati ada peniaga atau peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit, yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak," katanya pada sidang media disiarkan secara langsung, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan asas di 1,052 premis perniagaan, termasuk peruncit.
Malah, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membuka saluran pengedaran makanan keperluan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan daging.
"Dari 18 Mac lalu hingga semalam, saluran pengedaran FAMA berjaya membabitkan 1,882 petani, 1,700 usahawan dan 11 pasar raya. Usaha FAMA ini sudah memberi manfaat kepada lebih 2.81 juta pengguna.
"Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau dengan bekalan makanan di negara ini kerana ia mencukupi.
"Kerajaan sekali lagi ingin menasihatkan agar sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri ketika keluar untuk membeli barangan keperluan asas berkenaan," katanya.
--BeritaHarian