Saban tahun isu pembaziran makanan hangat diperkatakan ketika Ramadan, yang meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding bulan biasa. Antara punca didorong faktor gaya hidup mewah dan pembelian mengikut hawa nafsu sehingga tidak dapat membezakan di antara keperluan dan kehendak.Tidak hairanlah dilaporkan isi rumah atau keluarga adalah penyumbang terbesar keseluruhan 16,650 tan pembuangan sisa makanan di negara ini setiap hari.Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) melaporkan, 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan, manakala 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia menghadapi masalah kekurangan zat seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan.
Walaupun Malaysia tiada masalah kebuluran, kelaparan tersembunyi wujud tanpa disedari. Dianggarkan 63.1 peratus dan 33.6 peratus golongan B40 (golongan berpendapatan rendah) berada di bandar dan luar bandar.Golongan ini yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pendidikan rendah, kurang kemahiran dan bergantung sepenuhnya kepada faktor alam (luar bandar) dalam mencari sesuap nasi. Tiada pekerjaan sampingan yang dilakukan mengakibatkan golongan ini terus rasa tertekan dalam arus pembangunan.Tambahan pula kenaikan kos sara hidup turut memberi kesan kepada kebolehdapatan makanan di kalangan golongan ini. Jika di luar bandar, seandainya mereka terputus bekalan makanan, golongan ini boleh mengutip pucuk kayu dan memancing atau menjala ikan sebagai sumber makanan, tetapi bagi golongan B40 di bandar apa yang harus mereka lakukan.
Berdasarkan kajian, golongan ini mengutamakan makanan kepada anak-anak, membeli barang keperluan di kedai harga murah dan membeli pakaian terpakai sebagai satu strategi berdaya tahan untuk memastikan bekalan makanan isi rumah terjamin.Situasi ini memberi kesan kepada keselamatan makanan sama ada pada peringkat isi rumah mahupun individu dengan pencapaian keselamatan makanan akan tercapai apabila semua orang, pada setiap masa, mempunyai akses fizikal dan ekonomi kepada makanan yang mencukupi, selamat serta berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet dan pemilihan makanan untuk kehidupan sihat.
Sumber pendapatan terhad
Golongan ini mungkin berupaya mendapat makanan bagi meneruskan kehidupan, namun kebarangkalian tinggi keperluan dan kandungan nutrisi dalam pemakanan kurang diberi perhatian. Perkara ini berlaku disebabkan kedudukan sumber pendapatan dan tahap pendidikan rendah.Sekiranya kebolehsediaan makanan tidak berupaya dipenuhi, bagaimana pula kemampuan golongan ini untuk mengakses makanan serta memastikan kestabilan makanan isi rumah.Perkara ini perlu diberi perhatian dan penekanan bagi memastikan keselamatan makanan isi rumah terjamin. Pencapaian keselamatan makanan bukan hanya tertumpu kepada kebolehsediaan makanan semata-mata, malah ia mencakupi keupayaan isi rumah untuk memanfaatkan makanan diperoleh kepada tubuh badan serta memastikan kestabilan makanan boleh diperoleh setiap masa.
Pelaksanaan food bank oleh kerajaan yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal pengguna (KPDNHEP) secara tidak langsung memberi nafas baharu dalam menjamin bekalan makanan golongan ini. Usaha dilakukan ini tepat pada masa, sejajar hasrat kerajaan untuk menyantuni golongan ini bagi mengurangkan kos sara hidup.Usaha ini turut diperluaskan di universiti bagi menyantuni mahasiswa dari golongan B40 yang dilaporkan terpaksa mengikat perut dan menahan lapar akibat kekurangan wang bagi meneruskan pengajian. Hakikatnya kelaparan tersembunyi ini sudah lama menjadi isu dalam komuniti B40.Perasaan rendah diri dan malu untuk meminta mengakibatkan golongan ini pasrah dengan ketentuan takdir. Menyedari keperitan penghidupan kalangan B40 khususnya golongan asnaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebagai contoh, menubuhkan pusat bekalan makanan LZNK bagi menyantuni golongan asnaf di Kedah yang terputus makanan daripada kelaparan.
Sebagai permulaan Baling, Sik dan Padang Terap dipilih sebagai daerah perintis bagi projek ini susulan daerah ini mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Sebanyak 130 masjid bagi ketiga-tiga daerah ini terbabit sebagai Pusat Bekalan Makanan dengan kos RM17,800 setahun bagi setiap masjid.Secara tidak langsung, institusi zakat turut berperanan sebagai penyumbang kepada jaminan bekalan makanan golongan asnaf. Pelaksanaan food bank dan Pusat Bekalan Makanan dilihat sebagai pelengkap kepada rantaian keselamatan makanan di kalangan golongan mudah terancam.Dalam memastikan pelaksanaan program itu, tanda pengenalan golongan ini perlu diberikan kepada yang benar-benar layak bagi memastikan pengagihan makanan dapat dilakukan dengan telus. Keterlibatan agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu digalakkan lagi untuk bersama-sama menjayakan food bank.Pelepasan cukai korporat atau insentif lain yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi badan korporat yang turut serta dalam pelaksanaan food bank ini. Rantaian pelaksanaan food bank sebagai contoh perlu diperkukuhkan dengan jalinan kerjasama pelbagai pihak sama ada pengeluar atau pengusaha, agensi kerajaan, pihak swasta bagi memastikan kelangsungan food bank secara berterusan bukan bersifat bermusim.
Penulis merupakan Timbalan Dekan Pusat pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia.