SEBERANG JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan semua bekalan barangan keperluan bagi hasil tani dan penternakan mencukupi menjelang Ramadan ini.Pengerusinya, Ishak Ismail, berkata pihaknya sudah membuat perancangan teliti, khususnya bagi bekalan dua barangan utama iaitu ayam dan kelapa.“Biasanya ayam dan kelapa yang menjadi masalah kita setiap kali musim perayaan khususnya Aidilfitri.“Jadi, kita sudah berbincang untuk membawa lebih bekalan kelapa dari Pulau Papabak, Sabah, dengan 30 tan kelapa setiap bulan dari negeri itu.“Bekalan ayam juga tiada masalah, malah harga ayam agak terkawal sekarang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Ishak mengadakan Lawatan Kerja dan menyampaikan geran insentif Karavan Tani sempena Penang FAMA Fest 2019 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini.Mengulas lanjut, Ishak turut menyambut baik cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mahu menyenaraikan lebih banyak barang kawalan serta memanjangkan tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga bermula Ramadan ini.Katanya, usaha KPDNHEP itu akan memberi manfaat kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah, selain pembekal juga dapat melipat gandakan hasil perniagaan.
“Kita menyokong usaha kerajaan untuk menyenaraikan lebih banyak kawalan harga terhadap barangan asas.“Usaha ini akan menguntungkan pengguna dan pembekal, kedua-dua pihak akan mendapat faedah daripada dasar harga kawalan,” katanya.Semalam, KPDNHEP menjangkakan akan menyenaraikan lebih banyak barang kawalan, serta memanjangkan tempoh penguatkuasaan bagi skim kawalan harga bermula Ramadan ini.Skim kawalan harga yang dilaksanakan KPDNHEP pada setiap musim perayaan, khususnya Aidilfitri, biasanya dikuatkuasa sekitar 15 hari iaitu sebelum, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri.