TUMPAT, 5 Mac (Bernama) -- Hampir 100 penternak ikan kerapu dan siakap dalam sangkar di Laguna Tujoh di sini, berdepan kerugian apabila cuaca panas yang melanda Kelantan sejak dua minggu lepas menyebabkan banyak ternakan mereka mati.Seorang penternak, Zailani Ariffin, 33, berkata setiap hari jumlah ikan yang mati semakin meningkat berbanding bulan lepas.“Kami semua berkampung di sini untuk memantau keadaan ikan dalam sangkar masing-masing selepas mengesan banyak ikan mati kebelakangan ini, apatah lagi hampir 80 peratus ikan yang ada di dalam sangkar ketika ini masih kecil dan lebih sensitif dengan perubahan cuaca,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.Beliau berkata cuaca panas dan paras air di kawasan laguna yang semakin menyusut menyebabkan bekalan oksigen di dalam air berkurangan sekali gus memberi kesan kepada ternakan menyebabkan ikan mudah kehilangan sisik dan cepat mati.
Katanya kebanyakan penternak ikan sangkar mula menggunakan enjin galah dan ‘blower’ bagi mengatasi masalah itu daripada terus berlanjutan.“Kami berusaha menggunakan pelbagai alternatif bagi menyelamatkan ternakan daripada mati kerana sudah mengeluarkan kos yang besar untuk membeli anak ikan kerapu dan siakap yang mencecah RM1.50 seekor selain membeli makanan ikan,” katanya.Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh, Saifullah Che Mat berkata kira-kira 50 tan metrik ikan mati di laguna berkenaan setiap tahun dengan anggaran kerugian kira-kira RM750,000.
Saifullah berkata penyusutan paras air akibat cuaca panas menyebabkan kadar kemasinan meningkat dan memberi kesan kepada ternakan apabila tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi.“Selain kesan cuaca panas, kawasan ternakan di Laguna Tujoh yang semakin cetek tahun demi tahun memburukkan keadaan dan kerugian penternak makin meningkat saban tahun,” katanya.Beliau berkata terdapat sebahagian penternak mengambil keputusan menjual sangkar masing-masing kepada penternak baharu selepas gagal meraih keuntungan berikutan masalah yang timbul.Saifullah, yang juga seorang penternak ikan siakap berkata Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang mendapati Laguna Tujoh dengan keluasan 46 hektar itu mampu mengeluarkan 300 tan metrik ikan sangkar setahun.Bagaimanapun, katanya sasaran itu belum dapat direalisasikan berikutan pelbagai kekangan tersebut.
Dalam pada itu katanya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini telah meluluskan peruntukan berjumlah RM29 juta bagi projek mendalamkan muara Laguna Tujoh.“Projek tersebut dijangka dilaksana bermula bulan ini. Kami harap kerajaan dapat menyegerakan kerja-kerja tersebut bagi memastikan penternak tidak lagi terus berdepan kerugian sekali gus dapat meningkatkan hasil pengeluaran,” katanya.Kelantan kini berdepan cuaca panas walaupun monsun Timur Laut dijangka berakhir hujung bulan ini.
-- BERNAMA