KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjamin bekalan bahan mentah sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2019 mencukupi.Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata para peniaga juga sudah diingatkan untuk memastikan bekalan tersebut tidak terputus.SKHMP sempena Tahun Baharu Cina itu menyenaraikan 13 jenis barangan bermula pada 30 Jan hingga 8 Feb iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih (China), ikan bawal putih, udang putih besar serta babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).Chong berkata bagi memastikan tiada sebarang kenaikan harga berlaku terutamanya terhadap 13 jenis barang yang disenaraikan dalam SKHMP, kementerian menghantar 1,400 pemantau harga di seluruh negara.
Pemantauan harga ini adalah untuk memastikan peniaga menjual barangan SKHMP Tahun Baharu Cina mengikut harga siling yang ditetapkan selain memastikan mereka tidak menaikkan harga barangan selain daripada senarai yang ditetapkan, katanya pada sidang media selepas mengadakan pemeriksaan SKHMP Tahun Baharu Cina di Pasar Komuniti Stutong di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP Datuk Rostam Affendi Salleh, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman dan Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan.Jelas Chong, kementerian melancarkan SKHMP untuk memastikan agar tiada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang sehingga memberi impak kepada pengguna.
“Pasaran terbuka di negara ini menyebabkan ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga tatkala permintaan terhadap sesuatu barang tinggi terutamanya pada musim perayaan,” katanya. — BERNAMA