Disember 1, 2021 @ 5:40pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan program Jualan Keluarga Malaysia yang bermula Sabtu ini diadakan setiap minggu bagi memastikan orang ramai sentiasa mendapat bekalan pada harga murah.
Beliau berkata program yang menawarkan barangan keperluan asas sehingga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran membantu mengurangkan beban rakyat.
Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan dengan harga berpatutan.
"Diharap harga barangan keperluan ditawarkan itu adalah harga sebelum kenaikan harga barangan ketika ini, supaya pengguna dapat menikmati harga yang lebih murah.
"Adalah lebih baik jika program itu dapat diadakan setiap minggu bagi memastikan orang ramai sentiasa mendapatkan bekalan dengan harga lebih murah," katanya kepada BH.
Program Jualan Keluarga Malaysia akan diadakan di 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.
Beliau turut menyambut baik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan di pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.
Katanya, langkah itu mampu membantu orang ramai mendapatkan bekalan pada bila-bila masa dengan harga yang berpatutan.
"Dalam keadaan musim tengkujuh ketika ini, ikan sukar diperoleh dan jika ada sudah pasti mahal. Jadi dengan adanya stok ikan sejuk beku, orang ramai tidak perlu bimbang membeli ikan pada harga yang mahal," katanya.