September 25, 2021 @ 5:22pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) optimis sektor pengangkutan bas ekspres akan pulih kembali memandangkan ia antara satu keperluan bagi mereka yang tidak mempunyai pengangkutan.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ketika ini, perkhidmatan itu terhenti berikutan aktiviti rentas negeri belum dibenarkan dan kebanyakan orang masih lagi bekerja dari rumah.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan keperluan menggunakan pengangkutan itu dianggap 'beku' seketika sebelum ia kembali rancak apabila semuanya kembali beransur pulih.

"Saya yakin, apabila semua sektor ekonomi dan rentas negeri mula dibenarkan, secara automatik, pengangkutan ekspres ini akan turut pulih.
"Contohnya seperti Langkawi, apabila mula dibuka sebagai gelembung pelancongan, sektor pengangkutan udara juga secara perlahan-lahan mula menerima tempahan pengguna," katanya kepada BH.

BH hari ini melaporkan mengenai perkhidmatan bas di negara ini yang dikhuatiri lumpuh sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun kesan daripada pandemik COVID-19 dan pelaksanaan larangan rentas negeri.

Mohd Yusof berkata, jika pengangkutan bas ekspres lumpuh, ia sudah tentu akan menyukarkan pengguna lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perkhidmatan itu untuk perjalanan jarak jauh.

"Jika pengguna bergantung kepada e-hailing, tambangnya mahal. Jadi, pengangkutan bas ekspres adalah jalan penyelesaiannya.

"Dalam masa yang sama, kerajaan juga turut bertindak membantu memulihkan keadaan kerana yang pasti semua sektor juga terjejas akibat pandemik ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias, berkata kebanyakan pelajar daripada golongan B40 sememangnya bergantung kepada perkhidmatan bas ekspres.

Beliau mencadangkan supaya syarikat pengangkutan bekerjasama dengan universiti bagi urusan perjalanan pelajar menjelang pembukaan pusat pengajian tinggi tidak lama lagi.

"Langkah ini juga lebih selamat untuk pelajar. Ia dapat mengelakkan pelajar bercampur dengan orang luar yang menggunakan pengangkutan bas ekspres, selain dapat membantu menjana ekonomi pengusaha bas ekspres," katanya.

Bagi pelajar Politeknik Muadzam Shah, Murni Noraisyah Noor Azhar, 19, berkata perkhidmatan bas ekspres memudahkannya untuk pulang ke rumah ibu bapa di Kuala Lumpur.

"Ibu bapa saya juga tidak perlu bersusah payah datang mengambil atau menghantar saya ke pusat pengajian," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/868619/fomca-yakin-industri-bas-akan-pulih