September 11, 2021 @ 6:03pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap cadangan untuk mewajibkan ujian kepekatan karbon dioksida di dalam premis tertutup tidak akan membebankan pemiliknya.

Menyifatkan cadangan itu sebagai inisiatif yang baik, Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ujian itu tidak menyebabkan pemiliknya terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi sehingga menanggung kerugian.

"Cadangan itu dilihat satu inisiatif baik kepada pemilik untuk menarik pelanggan ke premis mereka melakukan urusan.

"Namun, jika ia membabitkan kos tinggi untuk setiap ujian dijalankan, ini boleh merugikan pemilik premis. Perlu fikirkan juga alternatif untuk menangani masalah kos ini," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan pakar kesihatan awam supaya pemilik premis tertutup mengukur tahap kandungan karbon dioksida sebagai langkah mengurangkan risiko penyebaran COVID-19.

Pemeriksaan kepekatan karbon dioksida secara berkala membolehkan pemilik premis menguji kecekapan sistem pengudaraan dalaman supaya ia berada dalam keadaan baik dan mengelakkan jangkitan COVID-19 yang tersebar melalui udara.

Mohd Yusof berkata, ujian berkala mengukur tahap karbon dioksida juga membantu meningkatkan keyakinan pelanggan dan orang awam untuk berurusan di sesuatu premis termasuk pasar raya, pejabat dan restoran.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/862678/jangan-sampai-pemilik-premis-terbeban-fomca