03 September 2021
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula penetapan harga siling runcit RM19.90 bagi satu set kit ujian kendiri Covid-19 yang akan berkuat kuasa Ahad ini.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr Marimuthu Nadason sebaliknya berkata, harga siling RM9.90 adalah lebih sesuai supaya orang ramai mampu membelinya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memahami keadaan ekonomi rakyat yang tidak menentu sekarang.
“Harga RM19.90 terlalu mahal. Kami mahu harga RM9.90 kerana ia dijangka menjadi kegunaan ramai terutama golongan miskin, berpendapatan rendah, pekerja kilang, pekerja pembinaan dan pekerja warga asing.
“Kami dapat membayangkan keadaan kewangan mereka. Golongan berkenaan tidak mampu kerana bukan hanya set kit ujian kendiri Covid-19, malah terpaksa membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.
“Keadaan ini akan menjadikan rakyat semakin tertekan sehingga ada yang memakai pelitup muka sama berulang kali," katanya kepada Sinar Harian.
Marimuthu berkata demikian mengulas mengenai pengumuman penetapan harga siling bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.
Marimuthu berkata, set kit ujian kendiri Covid-19 perlu dimasukkan dalam harga kawalan barangan bagi mengelakkan ada pihak mengambil keuntungan secara melampau.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/159238/BERITA/Nasional/Harga-siling-masih-mahal-Fomca
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf