GEORGE TOWN: Bank dan firma undang-undang mula “memburu” pelanggan yang gagal membuat bayaran dengan mengenakan yuran undang-undang terlalu tinggi ketika waktu sukar ini, kata kumpulan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna bahawa bank mula mengenakan caj tambahan ke atas semua hutang mereka.
Beliau berkata, berdasarkan aduan diajukan melalui pusat aduan pengguna kebangsaan, jika surat peguam dihantar kepada pelanggan yang ingkar, bank akan mengenakan caj tersebut ke akaun mereka.
Saravanan berkata, tindakan bank itu juga pantas, di mana surat peguam akan menyusul dalam masa kurang sebulan, terutama kepada mereka yang sebelum ini adalah pembayar yang baik tetapi bergelut untuk bertahan akibat PKP.
“Kejam kerana bank mencari jalan untuk menghukum pelanggan ketika berdepan pandemik. Kebanyakan mengadu selama ini mereka membayar tepat pada waktunya dan tiada tunggakan. Mereka adalah pelanggan yang menggunakan arahan debit langsung, di mana wang ditolak terus dari simpanan mereka.
“Sektor perbankan dilihat seperti cuba meraih keuntungan daripada mereka yang benar-benar terkesan akibat wabak itu. Bank Negara Malaysia perlu menyiasat sama ada ini adalah modus operandi baharu bagi bank dan peguam untuk memperoleh keuntungan,” katanya dalam kenyataan.
Saravanan berkata, bank pusat perlu mengaudit berapa banyak kes yang mendapat notis peguam dan berapa banyak bank yang mengenakan caj ke atas pelanggan mereka sejak PKP bermula.
Beliau berkata, idealnya moratorium atau bantuan lain perlu ditawarkan kepada yang berhak, terutama mereka yang sebelumnya ini membuat pembayaran tepat pada waktunya.
“BNM sepatutnya mengubah kod tingkah laku dan garis panduan mereka buat sementara terutama membabitkan notis peguam ketika pandemik. Ramai pengguna kehilangan pekerjaan atau berdepan pendapatan yang berkurang akibat pandemik.”