Khamis, 4 Jun 2020 @ 2:15 PM
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 572 kertas siasatan berkaitan penipuan penjualan pelitup muka membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM5.5 juta.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas siasatan itu dibuka dari 18 Mac hingga semalam.
Beliau berkata, kebanyakan kes penipuan ini membabitkan urusan jual beli dilakukan melalui Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp.
"Negeri yang mencatatkan kertas siasatan tertinggi adalah di Selangor sebanyak 122; dan masing-masing 68 di Johor serta Pulau Pinang.
"Daripada jumlah itu, PDRM sudah menahan 181 individu, dan 53 lagi sudah dituduh di mahkamah," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat pembelian melalui platform dalam talian.
"Elak dari berurusan di laman sesawang yang mencurigakan. Semak ulasan atau komen daripada pembeli lain sebelum membuat pembelian.
"Jangan sesekali terpedaya dengan tawaran murah. Pelitup muka juga boleh diperoleh dengan mudah ketika ini termasuk di farmasi, jadi elak dari menjadi mangsa penipuan," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2020/06/585894/kerugian-akibat-penipuan-jualan-pelitup-muka-cecah-rm55-juta