Isnin, 18 Mei 2020 | 4:14pm

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 1,003 premis perniagaan termasuk peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sejumlah 3,015 aduan harga dan bekalan sudah direkodkan untuk tindakan bahagian penguatkuasa melalui sistem E-Aduan.

"Tindakan akan diambil jika didapati mana-mana peniaga sama ada di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong atau peruncit yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barangan secara mendadak.

"Semalam, sebanyak 1,003 premis perniagaan diperiksa terdiri daripada 823 peruncit, 149 pemborong dan 31 pengilang," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan serta mudah diperolehi.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi," katanya.

Dalam pada itu juga, katanya pegawai penguatkuasa KPDNHEP turut melakukan 2,006 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Pemeriksaan KPDNHEP mendapati 1,719 premis mematuhi SOP yang ditetapkan, manakala 271 premis diberi nasihat dan 16 premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut memaklumkan bahawa barangan keperluan harian termasuk beras, ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap stabil dan mencukupi.

Katanya, jumlah stok semasa beras termasuk bagi pengeluaran tempatan dan import adalah stabil, konsisten dan terkawal untuk menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

"Oleh itu, rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan beras di pasaran. KPDNHEP membabitkan barangan di premis perniagaan dan MOA di peringkat pengeluar...di peringkat pengeluar pun barangan keperluan asas mencukupi, " katanya.

Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/690321/jangan-bimbang-bekalan-makanan-cukup-ismail-sabri