PUTRAJAYA – Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) melibatkan 11 syarikat konsesi lebuh raya mula dibuka secara rasmi hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan berkata, pelaksanaan itu melibatkan pengguna kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) boleh membuat bayaran tol secara SPT di 11 lebuh raya terpilih.

Katanya, lorong SPT telah dibuka kepada pengguna semasa ujian rintis awam secara berperingkat di lebuh raya terpilih mulai 3 Ogos lalu bagi menguji fungsi dan keberkesanan sistem.

“Lebuh raya terlibat adalah Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Lebuh Raya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

“Selain itu, ia turut melibatkan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuh Raya Kuala Lumpur Putrajaya (MEX), Lebuh Raya Duta Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuh Raya Kulim Butterworth (BKE),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Ujar kenyataan itu, pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) pula dijangka akan bermula pada penghujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi demi kemudahan pengguna lebuh raya.

“Pengurusan PLUS Malaysia Berhad telah diminta untuk menyegerakan pelaksanaan SPT ini agar pengguna JPP dapat menggunakannya pada penghujung tahun ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, SPT merupakan inisiatif KKR, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya ke arah memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya membuat bayaran tol.

“Pembayaran boleh dilakukan melalui kad debit, kad kredit dan kad prabayar yang mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard, sekaligus memberi alternatif baharu kepada kaedah pembayaran tol sedia ada menggunakan kad Touch ‘n Go, Smart Tag dan Radio Frequency Identification (RFID),” jelasnya.

Tambahnya lagi, pihaknya menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mengaktifkan ‘contactless payment’ bagi kad debit,kad kredit,kad prabayar yang akan digunakan.

Selain itu, pengguna perlu memilih lorong yang betul, mempunyai logo MyDebit, Visa atau Mastercard pada papan tanda lorong.