Mac 25, 2023 @ 4:21pm
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan menumpukan usaha untuk membebaskan monopoli, khususnya dalam sektor perubatan dan makanan.

Selain monopoli syarikat tertentu, Setiausaha Agung FOMCA, Datuk Dr Paul Selvaraj, berkata kerajaan juga digesa untuk menyiasat penubuhan sesuatu konsortium dan kartel yang cenderung bersifat manipulatif serta 'berkuasa' mengawal pasaran.

Beliau turut menyarankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendedahkan senarai syarikat yang dikesan terbabit dengan memonopoli sektor tertentu negara supaya tindakan boleh diambil, antaranya memecahkan monopoli mereka dalam pasaran demi kepentingan rakyat.

"Kita harap kerajaan akan dapat mengkaji semua segi monopoli khususnya membabitkan keperluan asas seperti perubatan dan makanan. Ambil tindakan dan pastikan pasaran itu bebas supaya pengguna akan dapat manfaat.

"Tidak kira konsortium atau syarikat macam mana sekalipun, pastikan ia tidak ada kawalan khususnya dari segi harga dan tidak membesar sampai ia boleh menetapkan harga pasaran. Jika ada persaingan, ia tidak boleh tetapkan harga.

"MyCC sepatutnya keluarkan senarai syarikat yang memonopoli walaupun suruhanjaya itu berdepan implikasi undang-undang tetapi mereka yang harus ambil tindakan. MyCC ada kuasa dan perlu menerajui usaha ini," katanya kepada BH.

Mengulas lanjut peranan MyCC berhubung isu monopoli, Selvaraj kecewa dengan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh suruhanjaya itu yang dilihat sedikit lambat.

Mengambil contoh isu monopoli Touch 'n Go (TnG), beliau berkata, pihaknya membuat aduan sejak lima tahu lalu, namun tiada tindakan diambil ketika itu.

"MyCC akan menjalankan kajian pasaran dan kemudian menerbitkan dapatan itu. Sebenarnya dalam laporan berkenaan, walaupun tidak disebut nama syarikat secara terperinci sebab ada implikasi undang-undang, mereka sebenarnya tahu.

"Jadi, kerajaan boleh ambil tindakan kerana MyCC memang sudah tahu mengenai isu itu kerana mereka ada sumber dan kuasa perundangan. Sehubungan itu, mereka perlu ke depan memimpin bagi menangani isu monopoli yang menjejaskan kepentingan pengguna," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1081644/kerajaan-diminta-pecah-monopoli-sektor-makanan-perubatan