24 Jun 2022
RAMALAN pemerhati dan pakar ekonomi tentang inflasi yang akan berlaku lebih serius pada pertengahan tahun 2022 sudah mula terasa bahangnya.

Pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkaitan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram dan kawalan harga siling ayam serta telur ayam bermula 1 Julai, menguatkan lagi bahangnya.

Rakyat yang sudah sedia tertekan berikutan kesan pandemik Covid-19, akan terus berdepan dengan kos sara hidup lebih tinggi pada masa akan datang apabila harga makanan dan bahan mentah sudah mula naik sedikit demi sedikit.

Golongan M40 akan lebih terus terkesan kerana tidak lagi menerima bantuan langsung daripada kerajaan.

Ada pekerja yang gaji mereka masih di takuk lama dan ada yang terpaksa berhadapan dengan pemotongan gaji tetapi perlu berhadapan dengan bebanan kos sara hidup yang memeritkan.

Paling membimbangkan, kenaikan harga barangan negara ini dijangka kekal tinggi untuk tempoh beberapa bulan akan datang berikutan beberapa faktor pendorong kenaikan kos terutama barangan import.

Dalam situasi sukar seperti ini ada suara-suara yang meminta supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera kerana pada pandangan sesetengah pemimpin politik ia adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi mereka, dengan situasi kerajaan yang kini dianggap berada dalam keadaan kurang stabil, adalah sukar untuk kerajaan melakukan tindakan konkrit bagi menyelesaikan isu harga barang dan perkara yang melibatkan bebanan kos sara hidup rakyat.

 

Persoalannya, adakah ketika ini benar-benar masa terbaik untuk membubarkan Parlimen? Adakah isu kos sara hidup rakyat akan lenyap selepas PRU15 apabila terbentuk sebuah kerajaan baharu?

Bagi sesetengah pemerhati politik, mereka mahu kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus diberikan peluang memerintah mencari mekanisme untuk menstabilkan isu harga barang berbanding mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Bagi rakyat pula, PRU15 bukan jaminan nasib mereka akan berubah kerana belum tentu kerajaan baharu selepas ini akan benar-benar stabil.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/208418/SUARA-SINAR/Lidah-Pengarang/Bahang-peningkatan-kos-sara-hidup-makin-terasa