November 23, 2020 @ 8:56am
KEPUTUSAN kerajaan memberi kemudahan akses simpanan persaraan Akaun 1, i-Sinar kepada lebih dua juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melegakan banyak pihak, terutama mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Perubahan jumlah pengeluaran antara RM4,000 hingga RM60,000 secara bersasar dilihat lebih praktikal berbanding pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan seperti dicadangkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 sebelum ini.
Kesediaan kerajaan meminda cadangan yang sudah dibentangkan di Parlimen itu bukan mudah. Ia membabitkan pelbagai implikasi. Namun, jelas ia membuktikan kerajaan memahami kegetiran hidup rakyat.
Kepada pencarum pula, wang yang bakal dikeluarkan nanti seharusnya digunakan secara berhemah. Lebih penting, ia ke jalan betul.
Sebaiknya gunakan wang berkenaan sebagai modal permulaan perniagaan atau membayar hutang tertunggak. Lebih penting, beban perbelanjaan kehidupan seharian dan urusan persekolahan anak dapat dikurangkan dengan wang terbabit serta diuruskan dengan baik dan teratur.
Lupakan niat untuk menambah atau menukar perabot rumah. Jangan bazirkan wang berkenaan dengan membeli telefon bimbit terbaru atau menukar gajet lebih canggih. Ini semua tidak penting berbanding kelangsungan hidup untuk masa hadapan.
Perlu difahami objektif KWSP ditubuhkan adalah bagi membantu ahli memiliki simpanan hari tua. Justeru, secara dasarnya bukan tanggungjawab KWSP menjadi penyelamat apabila pekerja hilang sumber pendapatan atas apa-apa sebab sekalipun.
Justeru, apabila pengurusan KWSP mengambil sikap berhati-hati terhadap cadangan membenarkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 1 ketika krisis COVID-19, ia tidak seharusnya dikecam secara melulu.
Saranan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, baru-baru ini supaya pencarum menjadikan pengeluaran caruman KWSP Akaun 1 sebagai langkah terakhir sekiranya ada kaedah lain bagi membantu kekangan kewangan, wajar diambil perhatian positif.
Kemudahan pengeluaran hanya langkah menyokong pendapatan isi rumah, bukan punca pendapatan utama. Justeru, harus diingat dana KWSP juga digunakan untuk pelaburan ke atas ekonomi serta antara sumber pinjaman dalam negara. Pengeluaran dalam kuantiti banyak akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Pencarum sewajarnya memahami pengeluaran Akaun 1 bukan jalan penyelesaian. Ia hanya sebagai langkah terakhir selepas usaha mengatasi kekangan kewangan tidak berhasil. Berpadalah membuat keputusan. Jangan sampai menyesal kemudian hari.
Mohd Salleh Osman, Presint 16, Putrajaya
Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2020/11/757174/bijak-urus-wang-akaun-1-kwsp