Sejak kebelakangan ini, suhu dunia pada separuh tahun pertama ini dilaporkan sebagai merupakan tempoh yang paling panas sejak dalam sejarah manusia. Ini menunjukkan kesan-kesan perubahan iklim yang semakin jelas dan bertambah teruk. Walau bagaimanapun, angka-angka ini masih belum berupaya menyebabkan kerisauan kepada para pemimpin dunia kerana kesepakatan iklim dunia (global climate deal) masih jauh lagi untuk dicapai.

Negara-negara yang kaya melindungi kebajikan sendiri, manakala negara-negara sedang membangun menggesa bahawa negara-negara kaya patut bertindak dengan lebih proaktif untuk mengatasi masalah perubahan iklim ini. Akibatnya, kesepakatan dan persetujuan tidak dapat tercapai dan hanya mengundang penangguhan tindakan yang mengecewakan.

Kedua-dua negara-negara kaya dan mundur bimbang bahawa kesepakatan iklim akan melambatkan lagi pembangunan ekonomi dengan penurunan daya saing industri domestik di persada dunia. Hakikat yang menyedihkan mengenai tamadun manusia ialah walaupun hidup pada abad ke-21, kita masih tidak dapat menguasai sesuatu yang paling penting, iaitu menetapkan keutamaan.

Apakah keutamaan yang lebih penting? Menyelamatkan bumi kita ataupun industri? Bukankah bumi kita merupakan satu-satunya tempat tinggal kita? Jadi menyelamatkan bumi kita harus menjadi keutamaan. Namun begitu, kepiluan hati dapat dirasai apabila kita bercakap mengenai menyelamatkan bumi, maka kita lebih gemar mengambil sikap tidak peduli dan mengharapkan orang lain untuk melakukannya.

Jikalau kita tidak mengubah cara hidup kita, dalam keadaan ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin dunia masih menekankan kepada aspek pembangunan dan industri, maka kita memang patut menerima bencana-bencana buruk yang bakal menimpa kita pada masa yang akan datang.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia