Menurut satu laporan yang terkini, 2010 bakal merupakan tahun paling panas dalam catatan sejarah manusia. Ais di Lautan Artik terus mengecut dan cair, manakala kawasan batu karang pula musnah akibat peningkatan suhu lautan. Begitu juga kejadian kebakaran hutan yang berlaku di Rusia dan banjir besar melanda negara China, Pakistan dan India.

Namun tanda-tanda perubahan iklim yang jelas ini masih tidak mendapat perhatian daripada para pemimpin dunia.

Masyarakat dunia meletakkan harapan yang tinggi terhadap perbincangan perubahan iklim di Copenhagen pada tahun lalu. Tetapi ia hanya berakhir dengan kehampaan. Negara maju tidak mahu berkongsi pandangan politik dan ekonomi yang sama dengan negara-negara membangun. Kepentingan individu jauh lebih penting daripada kesejagatan sedunia.

Nyatanya, sains tidak berupaya meyakinkan pemimpin dunia tentang akibat buruk perubahan iklim. Hanya selepas sesuatu mala petaka berlaku, barulah mereka berasa cemas dan yakin tentang keseriusan perkara ini.

Jikalau ramalan saintifik adalah betul, dan gas rumah hijau masih terus dilepaskan yang banyak ke atmosfera, maka generasi akan datang bakal menerima padahnya.

Amerika Syarikat dan China merupakan dua Negara yang melepaskan gas rumah hijau yang terbesar di dunia. Negara-negara lain pula masih menunggu langkah pertama dilakukan oleh kedua-dua negara besar ini. Semasa China sedang berusaha untuk membangun teknologi hijau dan tenaga bersih pada masa akan datang, Amerika Syarikat masih belum mengorak langkah. Menurut ahli politik Amerika Syarikat, Richard Blumenthal, cara-cara yang digunakan oleh Amerika Syarikat seperti cap-and-trade langsung tidak berkesan.

‘Peperangan’ politik antara parti Republicans dan Democrats merupakan perkara terakhir dalam usaha untuk menangani isu perubahan iklim. Banyak negara sedang menunggu Amerika Syarikat untuk menunjukkan kepada mereka satu langkah ke hadapan yang positif. Langkah-langkah tersebut mungkin tidak akan termakbul kerana pemimpin Amerika Syarikat hanya sibuk berbincang sahaja dan Presiden Obama seumpama telah hilang minat terhadap perkara ini.

Kita semua tahu bahawa berbincang dan bercakap merupakan perkara yang mudah, tetapi tiada apa yang dicapai dan diselesaikan. Janji-janji yang palsu inilah merupakan perkara yang terakhir yang diperlukan untuk menangani isu ini.

 

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia