Pada 13 Oktober 2010, Dana Hidupan Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) telah menerbitkan Laporan Kehidupan Planet 2010 (Living Planet Report 2010). Laporan ini berdasarkan kepada kajian yang dilakukan setiap dua tahun terhadap tahap kesihatan bumi berpandukan kepada kesan-kesan biodiversiti dan alam sekitar.

Laporan ini meninjau perubahan dalam jejak ekologi (ekological footprint) – tempat yang diperlukan untuk membekalkan sumber, ruangan untuk infrastruktur dan tumbuhan menyerap gas karbon dioksida. Manakala Indeks Kehidupan Planet (Living Planet Index, LPI) merujuk kepada taraf biodiversiti sedunia.

Berikut adalah beberapa petunjuk penting dalam laporan ini:

Jejak Ekologi:

Keperluan terhadap sumber asli telah meningkat dua kali ganda sejak 1966. Kini penduduk dunia masih menggunakan sumber sebanyak 1.5 planet untuk menampung aktiviti-aktiviti mereka.
Sepuluh buah negara yang mempunyai jejak ekologi pada setiap orang adalah Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Denmark, Belgium, Amerika Syarikat, Estonia, Kanada, Australia, Kuwait dan Ireland.
4.5 bumi diperlukan sekiranya semua penduduk dunia mengamalkan cara hidup sebagaimana rakyat Amerika Syarikat.
Negara-negara yang berpendapatan tinggi mempunyai 5 kali jejak ekologi berbanding dengan negara berpendapatan rendah. Ini menjukkan bahawa penggunaan di negara kaya dilakukan dengan menghabiskan sumber-sumber asli yang hanya terdapat di negara tropikal.
Karbon
Sebanyak 11 kali ganda peningkatan dalam jejak karbon dunia merupakan faktor utama yang mendorong kepada pertambahan jejak ekologi manusia sejak 1966.
Sejak tahun 1998, jejak karbon sedunia telah meningkat sebanyak 3 kali ganda.
Sejak tahun 1961, jejak karbon 33 buah negara Pertubuhan untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah meningkat sebanyak 10 kali ganda.
Namun, rantau-rantau lain sedang berusaha ke arah itu: jejak karbon di negara-negara ASEAN telah meningkat sebanyak 100 kali ganda, negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India, China) telah meningkat 20 kali ganda. Pada masa yang sama, jejak karbon di negara-negara Afrika juga telah meningkat sebanyak 30 kali ganda.
Biodiversiti

Index Kehidupan bumi telah menurun hampir 30% di antara tahun 1970 dan 2007.
Negara-negara yang berpendapatan rendah telah mengalami kemerosotan biodiversiti yang paling tinggi iaitu sebanyak 60% dalam masa kurang daripada 40 tahun.
Populasi spesis ikan air tawar tropikal mengalami kesan yang paling buruk dan telah menurun hampir 70%.
Walau bagaimanapun, LPI di rantau yang beriklim sederhana telah meningkat 30%, menunjukkan keberkesanan usaha pemuliharaan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembaziran.
34 % Ketua Pegawai Eksekutif di Asia Pasifik dan 53% Ketua Pegawai Eksekutif di Amerika Latin bimbang terhadap kesan-kesan kehilangan biodiversiti terhadap pembangunan perniagaan mereka, berbanding dengan hanya 18 % di Eropah.
Air
Lebih daripada 70 negara sedang mengalami masalah kekurangan bekalan air yang bersih. Ini memberikan implikasi yang mendalam kepada kesihatan ekosistem, pengeluaran bahan makanan dan kesihatan manusia. Selain itu, perubahan iklim akan memburukkan lagi situasi ini.

Kesimpulan

Tanpa air yang bersih, tanah, makanan, bahan api dan bahan mentah yang mencukupi, manusia akan terdedah kepada belenggu kemiskinan, terutamanya penduduk di negara miskin.

Oleh itu, negara-negara kaya harus memberikan bantuan dari segi kewangan, teknologi dan pengetahuan kepada negara-negara miskin, manakala negara-negara miskin perlu bijak mengurus dan menggunakan bantuan-bantuan yang diberi.

Cara hidup manusia juga harus berubah dan penggunaan yang lestari harus diamalkan. Sekiranya ini tidak dilakukan, maka bumi tidak akan berupaya untuk menampung kehidupan lagi.


Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia